SPRM diminta siasat isu papan iklan tumbang di Melaka

- Advertisement -

KOTA MELAKA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta untuk menyiasat kemungkinan berlaku penyelewengan dan salah guna kuasa dalam isu dua papan iklan besar tumbang baru-baru ini.

- Advertisement -

Pengerusi Pertubuhan Angkatan Perpaduan Bersatu Melaka, Mohd Azrudin Md Idris berkata, kedua-dua papan iklan tersebut disahkan oleh pihak berkuasa sebagai tidak mempunyai permit.

“Saya membuat laporan ini berkenaan dua papan iklan besar yang tumbang berlaku semasa ribut kencang pada jam 2:00 ke 3:00 pagi, 14 Julai 2024.

“Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan pada dua kejadian berikut. Ia melibatkan papan iklan besar berhampiran Jambatan Mahkota Parade di Bandar Hilir dan papan iklan besar di Jalan Bachang,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu sidang media selepas membuat laporan tersebut di Pejabat SPRM Melaka, di Crystal Bay, Alai, di sini sebentar tadi.

Katanya, pada 15 Julai, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yassin telah membuat satu kenyataan media memaklumkan dua papan iklan besar berkenaan tidak mempunyai lesen.

“Kenyataan dari YB Exco menimbulkan persoalan berikutan dua papan tanda besar tersebut dilihat telah lama berada di lokasi kejadian dan kini diketahui umum bahawa ianya beroperasi tanpa lesen yang sah dan tidak mendapat sebarang perlindungan insuran.

“Pada 8 Januari 2020, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah memutuskan bahawa Pengurusan Hak Eksklusif Pengiklanan Seluruh Negeri Melaka yang diberikan kepada Melaka Kini Sdn Bhd (MKSB) sebelum ini dibatalkan dan diserahkan kepada Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI) berkuatkuasa 15 Januari 2020.

“Pada 15 Januari 2020, Majlis Penyerahan tugas bagi kerja-kerja pengambilalihan pengurusan hak eksklusif pengiklanan papan iklan luar seluruh Negeri Melaka telah diadakan dan disempurnakan oleh Pegawai Operasi MKSB dan Pengurus Besar CMI,” katanya.

Kerana itu kata Azrudin, adalah menjadi tanggunjawab CMI bagi memastikan semua papan iklan didirikan di seluruh negeri Melaka mematuhi standard prosedur operasi (SOP) dan mengikut setiap spesifikasi telah digariskan bagi memastikan keselamatan orang awam.

“Setelah hampir empat tahun menggalas tanggungjawab, CMI Melaka tidak sewajarnya membenarkan isu papan iklan haram berlaku. Terutamanya apabila papan iklan yang tumbang baru-baru ini terletak di jalan utama.

“Ianya juga berlaku di dalam Tahun Melawat Melaka 2024 di mana penggunaan jalan-jalan utama adalah lebih tinggi dari kebiasaan dengan kehadiran pelancong-pelancong dari luar Melaka,” katanya.

Ujar beliau, terlihat di situ bahawa timbulnya persoalan bagaimana papan iklan besar boleh dibangunkan di jalan utama kawasan bandar yang sesak dan padat tanpa lesen sah.

“Saya mohon SPRM menyiasat dan mengambil tindakan terhadap agensi terlibat, kepimpinan Negeri Melaka serta pegawai mereka yang terbabit dan bersubahat dengan perbuatan rasuah dan pelanggaran Perlembagaan yang merupakan kesalahan-kesalahan berikut.

“Rasuah di bawah Seksyen 16 dan Seksyen 17 Akta SPRM; salah guna kuasa penjawat awam di bawah Seksyen 23 Akta SPRM. Saya memohon pihak SPRM untuk menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan,” katanya.

Jelasnya, ia bagi mengelakkan berulangnya kejadian yang berlaku pada  24 Mei 2016 di mana seorang warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya dihempap sebuah papan iklan ketika berhenti di lampu isyarat persimpangan Jalan Pokok Mangga menghala ke Klebang.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Muhamat Puhat Bedol yang ditemui Harakahdaily dalam pada itu turut menuntut agar perkara tersebut disiasat oleh pihak SPRM.

“Kami dari PAS Melaka juga mahu supaya perkara ini disiasat kerana ia boleh menjurus kepada kehilangan nyawa atau harta benda.

“Mujur semasa papan iklan itu tumbang tidak ada orang berada di situ dan tidak ada kenderaan lalu. Kalau ada macam mana? Sudah tentu ada yang cedera atau mati,” katanya.

Jelasnya, apabila sesuatu papan tanda itu tidak mempunyai kelulusan ada kemungkinan ia tidak mengikut spesifikasi keselamatan yang sepatutnya yang menjadikan ia tidak kukuh.

Tambahnya, perkara itu tidak seharusnya dipandang remeh dan perlu diambil tindakan tegas sekiranya berlaku apa-apa penyelewengan atau pelanggaran SOP dalam kejadian itu.

Turut hadir ialah Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Pekerja dan Modal Insan PAS Negeri, Azmi Aziz, Ketua Dewan Pemuda PAS Melaka, Ustaz Zulhilmi Suboh, Ketua Armada BERSATU Melaka, Arib Abu Kasim dan Pengarah PASTI Melaka, Ustaz Mohd Norfaizal Nordin. – HARAKAHDAILY 24/7/2024

- Advertisement -