Mustajab doa di Hari Arafah

Asmak Husin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Setiap ujian daripada Allah SWT bukan perkara sia-sia tanpa tujuan dan perlulah bersabar kerana ujian yang dilalui manusia menjadi neraca untuk menilai tahap sebenar keimanannya kepada Allah.

Pendakwah Wanita dan Keluarga, Asmak Husin, berkata cara untuk bersabar adalah dengan melakukan solat sunat bagi mohon kekuatan dan berdoa terutama di satu per tiga malam.

- Advertisement -

“Insya-Allah, satu kekuatan luar biasa yang sukar untuk digambarkan akan hadir,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga mantan Ahli Dewan Negara Kelantan, mengakui bahawa beliau turut terpalit dengan cabaran ketika melalukan dakwah.

“Sepanjang saya terlibat di dalam dunia dakwah, terlalu banyak luahan masalah yang saya dapat seperti luahan masalah antara suami dan isteri, anak, ibu bapa, ujian penyakit, kewangan, jodoh dan lain-lain.

“Sebenarnya, hidup kita tidak dapat lari daripada masalah kerana hidup ini memang untuk diuji. Siapa yang paling sabar dialah pemenang. Dan pasti ada yang akan cakap, mudahnya ustazah suruh sabar, tak kena pada ustazah tak apa lah.

“Tapi itulah tugas pendakwah. Bukan saya yang suruh sabar tapi Allah yang suruh. Pendakwah hanya perantara,” katanya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat ke-155, maksudnya: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”

Asmak turut mengajak orang ramai agar sentiasa berdoa tanpa putus terutamanya pada 10 awal Zulhijjah kerana ia merupakan bulan yang sangat dicintai oleh Allah SWT.

“Manfaatkan sebaiknya untuk bina kekuatan diri melalui pendekatan diri kepada Allah. Pasti dia akan buka jalan terbaik. Jangan pandang rendah pada kuasa doa.

“Sedangkan api yang panas boleh menjadi sejuk ketika nabi Ibrahim berdoa. Apatah lagi masalah kita yang tidak sebesar ujian para rasul,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/6/2024

- Advertisement -