Isu Kg Sri Makmur: Nilai pampasan RM1,000 tak wajar

- Advertisement -

GOMBAK: Nilai pampasan hanya RM1,000 sebagai insentif pemindahan dilihat sebagai tidak wajar dalam isu perobohan rumah penduduk Kampung Sri Makmur, di sini.

Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad mempersoalkan nasib penduduk kampung tersebut apabila kediaman mereka telah dirobohkan pada Isnin (27 Mei) dan ada juga yang dirobohkan semalam (28 Mei).

- Advertisement -

“Penduduk pernah dijanjikan rumah alternatif oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lepas.

“Apa yang berlaku, mereka hanya diberi insentif pemindahan RM1,000 baru-baru ini dan hanya 14 keluarga yang terima. Masih ada yang tidak diberikan apa-apa. 

“Duit diberi pada Jumaat (24 Mei), Isnin (27 Mei) sudah wajib keluar (rumah). Wang pampasan RM1,000 untuk menguruskan semuanya, adakah itu boleh dikira wajar dengan masa yang terhad?,” katanya dalam satu kenyataan.

Zurk Ahmad

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Persatuan Perantau Sri Makmur (PPSM), Noora Mustafa, berkata sebanyak 14 keluarga peneroka bandar daripada Persatuan Perantau Sri Makmur sebelum ini sudah mendapat tawaran rumah Selangorku dan pampasan pemindahan sebanyak RM1,000.

Sehubungan itu, Zurk menjelaskan bahawa penduduk tersebut bukan bertindak tidak akur malah ingin mendapatkan hak untuk berbincang dan berunding terhadap isu sebelum terdapat pihak yang berkeras untuk robohkan rumah ini.

“Cuba bayangkan penatnya urusan pindah rumah, kemas barang untuk balik kampung pun boleh makan hari inikan pula sebuah rumah yang telah didiami sekian lama.

“Walaupun menjadi penduduk asal dan peneroka kepada kampung itu sejak lebih 35 tahun, mereka akur kepada pemilik tanah. Cuma, rasa sedih yang menyesakkan dada dengan kehilangan ini,” katanya.

Tambah beliau, pihak yang bertanggungjawab seharusnya mempunyai nilai pertimbangan yang selayaknya untuk mempermudahkan urusan bagi orang yang menerima nasib sebegini.

“Ini bukan rumah sewa bujang sementara. Ini rumah kampung yang telah diusahakan dan didiami lama. Bayangkan melihat rumah sendiri diroboh di hadapan mata dengan pampasan tidak seberapa. 

“Berlaku pula di sebuah negeri yang lagaknya paling membela nasib rakyat dan banyak duit. Hakikatnya membela nasib tidak sampai 30 buah keluarga pun tidak terdaya,” katanya.

Terdahulu, sembilan keluarga yang merupakan penduduk asal dan sudah lama menetap di kampung terbabit dilaporkan telah diarahkan berpindah.

Ia bagi membolehkan kerja-kerja perobohan kediaman dilakukan bagi memberi laluan kepada pembinaan dan pembangunan kondominium di kawasan berkenaan.

Sebelum itu, penduduk yang terlibat sebelum ini telah menerima notis untuk mengosongkan rumah selewat-lewatnya pada 21 Januari lalu, namun telah ditangguhkan sehingga Ahad (26 Mei)  lalu. – HARAKAHDAILY 29/5/2024

- Advertisement -