BERSATU diingatkan elak pertembungan kerusi di Johor

Bimbang PH raih keuntungan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: BERSATU diingatkan agar tidak ghairah mengajak kepada pertembungan kerusi, sebaliknya pucuk pimpinan dituntut bijaksana untuk mengelakkan perpecahan undi Melayu yang hanya akan menguntungkan Pakatan Harapan (PH).

Penolong Setiausaha Agung PAS, Mohd Syahir Che Sulaiman merujuk pendirian dinyatakan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan membuka tirai minggu depan.

Syahir menegaskan bahawa sebarang bentuk pertembungan sesama sendiri antara parti asal gabungan berkenaan perlu dielakkan demi menghormati hasrat serta suara akar umbi umat Melayu di peringkat bawahan.

Beliau memberi amaran, sekiranya pertembungan ‘kabilah’ itu tetap berlaku, ia dibimbangi akan mengulangi episod sejarah lampau di mana ada pihak secara sengaja atau tidak, bertindak menjadi batu lonjakan atau ‘anak tangga’ bagi membolehkan pihak lawan meraih kuasa.

“Suara akar umbi dan hasrat umat Melayu; sebolehnya jangan sampai ‘kabilah’ bertembung. Jika bertembung, yang untung PH. Menang sorak, kampung tergadai. Melainkan ada pihak yang mahu menjadi ‘anak tangga’ kepada PH, seperti yang pernah diusahakan dahulu.

“Ketika itu, PAS menghalang. Harapnya tidak berulang,” katanya yang juga Setiausaha Politik Presiden PAS dan Ahli Parlimen Bachok dalam satu ulasan politik hari ini.

Semalam, Muhyiddin menyatakan kesediaan pemimpin dan akar umbi BERSATU Johor untuk bertanding secara terbuka menentang PAS dalam PRN Johor susulan PAS menghentikan kerjasama politik dengan parti itu.

Susulan keretakan jajaran Perikatan Nasional (PN) itu, timbul polemik mengenai pembahagian kerusi dengan masing-masing mula menunjukkan kesediaan untuk menguji kekuatan jentera tanpa kerjasama antara satu sama lain.

Mohd Syahir menjelaskan, sebarang perundingan mengenai agihan kerusi di Johor dan Negeri Sembilan sepatutnya bersandarkan kepada formula penyandang (incumbency) serta keupayaan calon untuk menang (winnability).

Beliau turut menarik perhatian mengenai isu teknikal membabitkan penggunaan lambang parti serta kuasa mutlak menandatangani watikah pencalonan bagi gabungan itu, yang mana hak tersebut tertakluk di bawah bidang kuasa Pengerusi PN.

“Asas rundingan kerusi di Johor dan Negeri Sembilan ialah prinsip ‘incumbency‘. Selebihnya berdasarkan faktor ‘winnability‘. Ukur kekuatan jentera, sokongan rakyat, dan penerimaan calon.

“Adapun perihal logo dan watikah, keputusan Majlis Tertinggi; tandatangan Pengerusi,” jelas beliau.

Menyentuh mengenai cabaran terbuka dilayangkan BERSATU, Syahir menegaskan bahawa PAS bukanlah sebuah parti yang gentar menghadapi saingan pilihan raya memandangkan parti Islam itu mempunyai rekod perjuangan amat panjang dalam landskap politik tanah air.

Bagaimanapun beliau berkata, PAS masih meletakkan keutamaan untuk bergerak sehaluan sekiranya terdapat ruang konsensus demi kepentingan masa depan negara.

“Sekalipun hendak berlawan, jangan diajak. PAS sudah 75 tahun berlawan. Jika sehaluan, jalan seiringan. Terserah kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan,” tegasnya lagi. – HARAKAHDAILY 17/6/2026

- Advertisement -
- Advertisement -