
Soalan:
Ketika sedang solat ada sisa makanan lekat di celah gigi. Apakah boleh kita gerak-gerakkan mulut kerana mahu tanggalkan makanan yang lekat itu kerana takut masuk ia ke dalam perut?
Jawapan:
Tidak batal solat seseorang yang ada sisa makanan di dalam mulutnya sama ada sisa itu lekat pada celah gigi atau ada di atas lidahnya selagi dia tidak menelannya.
Dan begitu juga tidak membatalkan solat jika ada rasa manis atau masam misalnya di atas lidah selama dia tidak menelannya.
Tetapi jika dia menelan sisa makanan tersebut dengan sengaja walaupun sedikit, maka solatnya batal.
Jika dia mainkan dengan lidahnya supaya sisa itu terkeluar maka solatnya tidak batal kerana lidah adalah anggota yang ringan.
Ada pun jika dia gerakkan dagunya seperti rupa mengunyah maka jika sampai tiga kali berturut-turut nescaya batal solatnya kerana dagu termasuk anggota yang berat dan tiga kali berturut-turut itu terhitung sebagai gerakan yang banyak.
Berkata Syeikh Ibnu Hajar:
( أو فعل ثلاثة أفعال متوالية ) بأن لا يعد عرفا كل منها منقطعا عما قبله ( كثلاث خطوات ) وإن كانت بقدر خطوة مغتفرة أو مضغات ثلاث ( أو حكات ) متوالية
Ertinya: “(Atau perbuatan tiga kali berturut-turut) yang pada biasanya tidak dilihat sebagai pergerakan yang berasingan dengan yang sebelumnya (seperti tiga langkah) sekalipun dengan kadar melangkah yang dimaafkan atau mengunyah tiga kali (atau menggaru) berturut-turut.” (Kitab Minhajul Qawwim)
Maksudnya adalah membatalkan solat dengan sengaja melakukan pergerakkan tiga kali berturut-turut tanpa berhenti walau pun pergerakkan itu yang dibenarkan oleh syarak seperti melangkah ke hadapan menggantikan imam yang sudah batal dan mengunyah yaitu mengerakkan dagu dan rahangnya tiga kali berturut-turut atau seperti menggaru sebagaimana yang datang pada persoalan di atas.
Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 17/6/2026











