
HULU SELANGOR: Pakatan Harapan (PH) dikhuatiri sudah hilang nilai integriti dan tatakelola susulan kontroversi isu pemberian kontrak Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) membabitkan Asia Mobility Technologies Sdn. Bhd. (Asia Mobility).
Ahli Parlimen Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun berkata, baru-baru ini diumumkan bahawa Asia Mobility dan Badan Bas Coach telah dipilih sebagai syarikat pengendali perkhidmatan DRT di negeri Selangor.
“Namun, apa yang memeranjatkan adalah apabila ada sumber mendedahkan bahawa Asia Mobility Technologies Sdn. Bhd. adalah syarikat yang dimiliki kepentingannya secara langsung oleh Ramachandran Muniandy, suami kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan kontrak diperolehi secara runding terus tanpa tender terbuka.
“Tidakkah ini bercanggah dengan janji dan manifesto kerajaan PH bahawa tiada kroni dan pilih kasih dalam proses pemberian kontrak kerajaan kepada pembekal?” katanya dalam satu kenyataan, pada hari ini.
Menurut beliau, perkara ini juga dilihat jelas bertentangan dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan supaya tatakelola pentadbiran kerajaan perpaduan tidak boleh lagi berlaku kelulusan perolehan tanpa tender untuk mengelakkan sebarang kebocoran, ketirisan dan rasuah daripada terus berleluasa.
“Prinsip yang diperjuangkan telah hilang apabila prosedur perolehan kontrak ini tidak dilakukan seperti mana yang mereka perjuangkan selama ini prinsip Competency, Accountability and Transparency (CAT).
“Justeru, kerajaan negeri Selangor perlu bertanggungjawab melakukan proses tender yang telus dan memberikan penjelasan kepada rakyat berkaitan isu ini,” katanya.
Terdahulu, semalam (28 Mei), Anwar dilaporkan sebagai berkata, kuasa diserahkan kepada pihak bertanggungjawab untuk siasatan isu pemberian kontrak DRT oleh Kerajaan Selangor kepada syarikat milik bersama suami Hannah Yeoh itu.
“Yang itu kita serah kepada authorities (pihak berkuasa). Kalau ada laporan, it should be transparent in their investigations (ia harus telus dalam penyiasatan mereka),” katanya. – HARAKAHDAILY 29/5/2024




















