Pasukan penyelamat tiba di lokasi helikopter Iran terhempas

FOTO: NDTV
- Advertisement -

TEHRAN: Pasukan penyelamat telah tiba di lokasi helikopter membawa Presiden Iran, Ebrahim Raisi yang terhempas, namun sumber bagaimanapun tidak memaklumkan keadaan mangsa yang menaiki helikopter berkenaan.

- Advertisement -

Sekurang-kurangnya 73 pasukan penyelamat berada di lokasi berkenaan di sekitar perkampungan Tavil, timur Iran, maklum Ketua Persatuan Bulan Sabit Merah Iran (ICRS), Pir-Hossein Kolivand.

“Situasi sekarang ini tidak bagus,” katanya menurut laporan agensi berita Iran, IRNA.

Menurut sumber IRNA dan MNA pula, tiada mangsa yang terselamat dalam insiden berkenaan yang turut membawa Menteri Luar Iran, Hossein Amir-Abdollahian; Gabenor Wilayah Azerbaijan Timur, Malek Rahmati; Imam Solat Jumaat di Tabriz, Hojjatoleslam Al Hashem; dan beberapa pegawai lagi yang dipercayai berada dalam helikopter berkenaan.

“Tiada tanda-tanda yang menunjukkan terdapatnya mangsa yang hidup dalam kemalangan helikopter berkenaan,” tambah Kolivand.

Raisi dilaporkan maut selepas agensi berita Iran memaklumkan tiada mangsa terselamat ditemui di lokasi kejadian.

Video dari dron yang diambil ICRS menunjukkan helikopter berkenaan berada di curam, lereng bukit dengan hanya sebahagian badan helikopter berkenaan yang tinggal.

Walau bagaimanapun, tiada pengumuman rasmi mengenai kematian mangsa dibuat.

Presiden Iran dan delegasinya dikatakan telah menaiki helikopter model Bell 212 yang mula beroperasi lewat tahun 1960-an, lapor penganalisis ketenteraan CNN, Cedric Leighton.

“Helikopter berkenaan mula dihasilkan di Amerika Syarikat, kemudiannya di Kanada,” tambahnya.

Kesukaran mendapatkan alat ganti, selain faktor cuaca yang buruk sejak beberapa hari lalu dikatakan menjadi antara punca berlakunya insiden berkenaan.

“Dalam kes ini, saya fikir penemuan alat ganti ini, kerana sekatan, ditambah dengan cuaca yang sangat buruk sejak beberapa hari lalu di bahagian tertentu di barat laut Iran ini.

“Semua itu, saya fikir menyumbang kepada beberapa siri insiden dan satu siri keputusan yang juruterbang dan mungkin juga Presiden sendiri yang buat ketika hendak menerbangkan pesawat ini, dan malangnya bagi mereka, akibatnya ialah nahas ini,” katanya. – Agensi – HARAKAHDAILY 20/5/2024