Luka hati kaum India: Dakwaan Rayer dibantah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) mendesak agar RSN Rayer (PH-Jelutong) menarik balik sangkaan jahat terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh).

Beliau bangun membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36 (6) berkaitan sangkaan jahat terhadap mana-mana Ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat, Parlimen, di sini hari ini.

- Advertisement -

“Jelutong sebut tadi Pagoh telah pun mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mengguris hati kaum India. Jadi pada saya itu sangkaan jahat terhadap Pagoh,” katanya sewaktu sesi penggulungan Kementerian Kewangan bagi Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2023) 2024.

Turut bangkit membantah tindakkan Rayer itu ialah Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainuddin dan Datuk Awang Solahuddin Hashim (PN-Pendang).

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Dato’ Ramli Mohd Nor yang mempengerusikan persidangan itu dalam keputusannya bagaimana pun berkata Rayer tidak melakukan kesalahan.

Dalam penjelasannya, Ramli menghujahkan ia kerana Rayer tidak menyatakan secara spesifik butir berkaitan perkara yang mengguris hati masyarakat India.

Terdahulu, Rayer sewaktu mencelah dalam sesi penggulungan itu mendesak agar Ahli Parlimen pembangkang tidak dilibatkan dalam taklimat peruntukan Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) oleh Kementerian Perpaduan Negara.

Juga gesanya agar tidak menyalurkan peruntukan tersebut kepada pembangkang terutama kepada Muhyiddin kerana bekas Perdana Menteri itu pernah mengguris hati masyarakat India. – HARAKAHDAILY 20/3/2024

- Advertisement -