Bangun kemahiran modal insan sektor E&E

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Peluang pekerjaan berkait rapat dengan pembangunan kemahiran dan modal insan bagi menarik banyak pelaburan ke negara ini khususnya dalam sektor elektrikal dan elektronik (E&E).

Dato’ Wira Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) bertanya sejauh mana persediaan yang dibuat kerajaan bagi menjadi pemangkin terhadap kepesatan sektor itu khasnya semi konduktor.

- Advertisement -

“November 2022 sehingga sekarang berapakah jumlah bakal-bakal tenaga kerja Malaysia terutamanya dalam bidang teknikal yang telah melalui latihan teknikal yang ada di negara kita ini.

“Ia seperti TVET dan graduan universiti diploma dan ijazah dlm bidang-bidang yang kritikal umpamanya kejuruteraan elektrikal dan elektronik,” katanya di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau mengemukakan persoalan itu ketika bangun mencelah pada sesi jawapan lisan oleh Datuk Larry Soon (PBM-Julau) mengenai peluang pekerjaan yang dimanfaatkan oleh penduduk tempatan.

Beliau berharap kemasukan Pelaburan Langsung Asing (FDI) dalam negara untuk tahun 2024 bakal dinikmati oleh penduduk tempatan bagi menjana pekerjaan dalam sektor dan industri pelaburan itu.

Dalam pada itu Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong ketika sesi tersebut mahu menjawal soalan tambahan secara bertulis dan secara terperinci.

Beliau berkata, secara umumnya Malaysia tidak pernah berhadapan dengan masalah tenaga kerja, bagaimanapun masalah gaji yang rendah masih menghantui pekerja mahir tempatan.

Sekarang ini katanya, kerajaan sedang mewujudkan lebih banyak institusi pendidikan tinggi dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pemangkin industri itu.

“Masalah sekarang ialah gaji, tetapi di seluruh dunia memang industri semi konduktor memerlukan bakat baru kerana industri itu telah mengalami satu lonjakan yang sangat pesat.

“Kita perlu lebih ramai tenaga kerja kita yang memahami power teknologi semi konduktor kita perlu lebih ramai yang memahami adalah saingan dan keadaan sedunia pada ketika ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/3/2024

- Advertisement -