Lelaki bertanding lagi pilihan raya selepas kalah 238 kali

- Advertisement -

METTUR, India: Tewas sebanyak 238 kali dalam pilihan raya tidak menjadi penghalang  seorang lelaki di India untuk sekali lagi bertanding pilihan raya di negara yang merupakan demokrasi terbesar dunia.

K. Padmarajan, 65, yang bekerja di kedai membaiki tayar mula bertanding dalam pilihan raya pada 1988 di kampung halamannya, di sini, dalam negeri Tamil Nadu, di selatan India.  

- Advertisement -

Popular dengan gelaran ‘Raja Pilihan Raya’, Padmarajan telah bertanding di serata negaranya, dari pemilihan kerusi presiden sehinggalah ke pemilihan kerusi tempatan.

Dia dalam pada itu memaklumkan orang ramai telah mentertawakan dirinya apabila mengumumkan niatnya untuk bertanding pilihan raya, tetapi dia mahu membuktikan bahawa orang biasa juga boleh melibatkan diri sebagai calon. 

“Semua calon yang bertanding mencari kemenangan, tetapi tidak bagi saya”, katanya. 

Ini kerana baginya, kemenangan yang sebenar adalah dengan melibatkan diri sebagai calon, dan apabila kekalahannya tidak dapat dielakkan, dia gembira untuk kalah. 

“Kemenangan adalah perkara kedua. Siapapun yang menjadi calon lawan, saya tak peduli kerana apa yang penting adalah penglibatan saya sendiri”, katanya lagi. 

Dalam pilihan raya kali ini yang berlangsung selama enam minggu bermula 19 April, Padmarajan bertanding untuk kerusi parlimen di daerah Dharmapuri, Tamil Nadu.

Sementara itu, Padmarajan memaklumkan dia telah membelanjakan duit yang banyak untuk membayar yuran penamaan calon, termasuk deposit keselamatan berjumlah 25,000 rupees (RM1,417) yang tidak akan dikembalikan melainkan dia memperoleh sekurang-kurangnya 16 peratus undi keseluruhan. 

Keputusan terbaik yang pernah diperoleh Padmarajan adalah pada 2011 ketika bertanding untuk kerusi tempatan di Mettur, apabila mendapat 6,273 undi berbanding lebih 75,000 undi yang diperoleh calon yang menang. – HARAKAHDAILY 29/3/2024 

- Advertisement -