Prabowo sah Presiden baharu Indonesia 2024-2029

Prabowo (kiri) dan Gibran Rakabuming masing-masing telah disahkan sebagai Presiden dan Naib Presiden baharu Indonesia. (FOTO: AP)
- Advertisement -

JAKARTA: Suruhanjaya Pilihan Raya Umum Indonesia (KPU) secara rasmi mengisytiharkan kemenangan Prabowo Subianto Prabowo Subianto-Gibran Rakabuming Raka sebagai presiden dan Naib Presiden baharu negara itu bagi tempoh tahun 2024 hingga 2029.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Pengerusi KPU, Hasyim As’yari beberapa jam selepas Mahkamah Perlembagaan mengumumkan penolakan usul yang dibuat oleh dua calon lain yang kalah, Anies Baswedan dan Ganjar Pranowo. 

- Advertisement -

Perkara itu sekaligus menghentikan dakwaan berlakunya penipuan sepanjang pilihan raya seperti yang didakwa Anies dan Ganjar, yang menuntut supaya pemilihan berkenaan diadakan sekali lagi, lapor AP.

Mahkamah Perlembagaan memutuskan bahawa tiada bukti kukuh bagi menunjukkan berlakunya penipuan sistematik serta campur tangan pemerintah, badan kerajaan, dan pegawai kerajaan yang digunakan untuk memancing undi sepanjang tempoh pilihan raya. 

“Petisyen plantif tiada asas undang-undang. Lima daripada lapan hakim memutuskan untuk menolak usul berkenaan sementara tiga lagi memberikan pendapat berbeza,” tegas Ketua Hakim, Suhartoyo.

Anies dalam pada itu, menerima keputusan tersebut sambil mengucapkan tahniah kepada Prabowo atas pengesahan kemenangannya itu, sejurus selepas mahkamah mengumumkan keputusan yang dibuat.

“Kami komited untuk mengekalkan prinsip peralihan kuasa secara aman dan kami memilih untuk menjadi sebahagian daripada usaha membangunkan kualiti demokrasi Indonesia,” ujarnya.

Sementara itu, Ganjar dan calon wakil presidennya, Mohammad Mahfud turut mengucapkan tahniah kepada Prabowo atas pengesahan kemenangan tersebut. 

“Kami terima dan menghormati keputusan Mahkamah Perlembagaan. Suka atau tidak, kita perlu terima kerana ia keputusan akhir dan sah,” kata Ganjar. 

Pilihan raya yang berlangsung Februari lalu menyaksikan Prabowo memperoleh sebanyak 58 peratus undi, namun kemenangannya tertangguh selepas Anies dan Ganjar mendakwa berlaku banyak penipuan, sebelum kedua-duanya membawa isu berkenaan ke mahkamah. -Agensi– HARAKAHDAILY 24/4/2024

- Advertisement -