‘Barat licik, banyak menipu untuk kuasai negara lain’

Ayatollah Khamenei ketika berucap dalam satu himpunan mesyuarat yang dihadiri oleh ribuan pekerja di Tehran, Iran pada malam Rabu, 24 April 2024. (FOTO: MNA).
- Advertisement -

TEHRAN: “Barat secara menipu dan licik mendakwa isu seperti senjata nuklear, hak asasi manusia, dan sokongan terhadap keganasan sebagai alasan untuk mengenakan sekatan terhadap Iran.”

Itu penegasan yang dibuat oleh Pemimpin Revolusi Islam Iran, Ayatollah Khamenei dalam ucapannya mengenai isu sekata ekonomi yang dikenakan oleh Amerika Syarikat dan Eropah terhadap negara Republik itu.

- Advertisement -

Menurutnya, sangat jelas percanggahan dan alasan palsu Barat yang terkini adalah dengan merujuk kepada apa yang berlaku di Semenanjung Gaza pada ketika ini.

“Rakyat Gaza adalah pengganas pada pendapat Amerika Syarikat dan Eropah. Rejim Zionis yang berniat jahat, palsu, merampas, dan kejam yang telah membunuh hampir 40,000 orang awam Palestin dalam tempoh enam bulan, beribu-ribu anak-anak mereka (Palestin) bukanlah pengganas tetapi yang melakukan pengeboman (Israel) itulah pengganas!” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu himpunan mesyuarat yang dihadiri oleh ribuan pekerja di Iran pada malam Rabu (24 April).

Tambah Khamenei, niat sebenar di sebalik musuh Iran mengenakan sekatan ekonomi adalah untuk meletakkan Republik Islam itu dalam kedudukan yang mencabar dan memaksanya untuk sejajar dengan agenda penjajah dan imperialis.

“Usaha jahat dan licik Amerika Syarikat itu tidak pernah tamat,” tegasnya.

Sambil merujuk kepada ucapan yang disampaikan beliau beberapa tahun lalu mengenai isu nuklear Iran, beliau juga menekankan keperluan bagi AS untuk menggariskan dengan jelas berapa banyak pengurangan nuklear yang diperlukan Tehran memuaskan hati Washington.

“Amerika Syarikat enggan menyatakan had ini, kerana mereka berhasrat untuk mengurangkan kemudahan nuklear Iran secara sistematik seperti yang ia lakukan dengan negara Afrika Utara, yang akhirnya sudah pasti membawa kepada penutupan industri nuklear Iran,” jelas beliau.

Khamenei mengulangi bahawa matlamat utama AS mengenakan sekatan terhadap Irab adalah untuk menuntut ketaatan dan penyerahan sepenuhnya Republik Islam dalam bidang politik dan ekonomi kepada kuasa dan gengaman Barat.

“Mereka mahu kekayaan, reputasi dan dasar Iran berada di tangan Amerika, seperti yang berlaku dengan beberapa negara lain.


“Bagaimanapun, terbukti bahawa sistem Islam, ketaatan Islam, dan negara Islam yang besar ini tidak akan tunduk kepada kerjasama licik tersebut,” katanya.

‘Bekerja dan pekerja’ dalam Islam

Dalam mesyuarat tersebut juga, Khamenei menzahirkan rasa terima kasihnya yang tulus atas usaha, integriti, dan dedikasi komuniti pekerja di Iran, dengan menyatakan bahawa Rasulullah SAW yang pernah mencium tangan seorang pekerja, adalah contoh penghormatan tertinggi terhadap golongan buruh daripada pimpinan tertinggi sebagaimana menurut ajaran Islam.

Beliau sehubungan itu, menjelaskan pandangan Islam tentang topik ‘bekerja dan pekerja’ dengan menggariskan bahawa, “Dalam dunia materialistik, seorang pekerja dilihat sebagai instrumen pengeluaran kekayaan.

“Cara Islam melihat seorang pekerja dan cara seseorang pekerja itu dihargai adalah kerana cara kerja itu dihargai.

“Nabi Muhammad SAW menyatakan bahawa Allah SWT mengagumi orang yang tekun, mahir, dan tekun melaksanakan pekerjaan mereka.” – Agensi -HARAKAHDAILY 25/4/2024

- Advertisement -