Jokowi, Gibran bukan lagi ahli parti pemerintah Indonesia

Jokowi dan anaknya, Gibran Rakabuming. (FOTO: Antara)
- Advertisement -

JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (atau Jokowi) dan anak lelakinya disahkan bukan lagi ahli kepada parti pemerintah, Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) selepas mereka memberikan sokongan kepada calon dari pihak lawan sewaktu pilihan raya presiden yang lalu.

- Advertisement -

Pegawai PDIP, Komarudin Watubun berkata, Jokowi yang sebelum ini memenangi dua siri pilihan raya presiden dengan mewakili PDIP, dilihat telah memberikan sokongan kepada calon lawan parti, Prabowo Subianto dan anak lelaki Jokowi, Gibran Rakabuming Raka dan bukan calon dari parti PDIP.

Tindakan itu diambil walaupun Jokowi sebelum ini dilihat tidak menyatakan sokongannya kepada mana-mana calon dan parti ketika pilihan raya yang berlangsung Februari lalu. 

“Mereka (Jokowi dan Gibran) kini bukan lagi ahli parti (PDIP) kerana mereka memutuskan untuk berpihak kepada pihak lawan,” kata Komarudin.

Beliau dalam pada itu enggan mengesahkan sama ada Jokowi dan Gibran telah dipecat atau tidak dari parti itu, sebaliknya memaklumkan bahawa kedua-duanya telah dihentikan daripada menjadi ahli PDIP kerana keengganannya untuk menyokong calon presiden daripada parti itu, Ganjar Pranowo, lapor Reuters.

Sementara itu, Gibran sekadar berkata, “Tidak mengapa,” ketika diminta memberikan komen berkenaan kenyataan Komarudin tersebut. 

Jokowi menyertai PDIP pada tahun 2004 dan telah bertanding jawatan Datuk Bandar Surakarta, yang menyaksikan beliau memenanginya sebanyaj dua kali.

Seterusnya pada 2012, beliau bertanding dan memenangi jawatan Gabenor Jakarta sebelum pada 2014, bertanding jawatan Presiden dan memenanginya sebanyak dua kali sehinggalah penggalnya bakal tamat Oktober ini.

Gibran dalam pada itu mengikut jejak bapanya apabila bertanding dan menang jawatan Datuk Bandar Surakarta pada 2020, mewakili PDIP yang disertainya setahun sebelum itu. – Agensi– HARAKAHDAILY 24/4/2024

- Advertisement -