Beri peruntukan lahirkan 100,000 lepasan TVET

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta meluluskan sejumlah diperuntukkan kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bagi merealisasikan hasrat melahirkan 100,000 lepasan TVET.

Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) berkata, Perdana Menteri telah menyatakan hasrat melahirkan lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seramai itu dalam tempoh lima tahun.

- Advertisement -

Beliau turut menggesa kerajaan menetapkan garis gaji pemula bagi graduan TVET terutamanya dalam bidang bukan teknikal dan kejuruteraan seperti pelancongan dan hospitaliti.

“Kedua-dua pengajian ini telah dibiayai oleh PTPK dan satu lagi dalam Kongres Ekonomi Bumiputera baru-baru ini Perdana Menteri ada hasrat untuk melahirkan 100,000 graduan TVET.

“Ini hasrat Perdana Menteri dalam masa lima tahun soalan saya adakah peruntukkan tambahan diberikan kepada PTPK untuk mencapai sasaran ini,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau mengemukakan persoalan itu ketika bangun mencelah pada sesi jawapan lisan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) yang meminta kerajaan menyatakan PTPK membiayai pinjaman kepada pelajar TVET.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dalam jawapannya berkata, PTPK bakal menerima peruntukan lebih besar dengan komitmen yang ditunjukkan oleh kerajaan.

Beliau berkata, perkembangan teknologi ketika ini termasuk kecerdasan buatan (AI) menjadi pemangkin bagi negara untuk berusaha melahirkan lebih ramai pakar dan pekerja mahir dalam bidang tersebut.

Menurutnya, komitmen yang ditunjukkan oleh Timbalan Perdana Menteri selaku Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara telah menterjemahkan hasrat tersebut.

“Maka dengan pengiktirafan kerajaan berikan ini akan membolehkan kita mendapat peruntukan yang lebih daripada kerajaan supaya kita boleh mendapat tambah nilai dalam program.

“Seperti dinyatakan Timbalan Perdana Menteri selaku Pengerusi TVET telah membawa kombinasi kepada beberapa perkara iaitu seperti program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) bergabung dengan program peringkat sijil.

“Kemudian ada banyak program lain, SKM bercampur dengan proram peringkat diploma dan sehingga kepada peringkat ijazah yang boleh diiktiraf atau kemahiran yang baik kepada negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/3/2024

- Advertisement -