Bakal haji B40, tetapi perlu bayar ikut M40

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menjelaskan secara spesifik bagi penetapan bayaran kos haji mengikut kategori bakal jemaah, demikian gesa Datuk Ustaz Idris Ahmad (PN-Bagan Serai).

Beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata, terdapat aduan daripada bakal jemaah haji kategori B40, tetapi perlu membayar kos haji sama seperti kumpulan M40.

- Advertisement -

“Saya dapat maklumat di kawasan saya (Bagan Serai) mereka yang gajinya ialah di kategori B40 kalau mengikut slip gajinya, tetapi dia kena bayar M40 atau alasannya bila ditanya.. kerana dia tidak dapat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Seterusnya, berkenaan dengan pelajar. Terdapat dua pelajar yang tidak dapat maklumat pun turut dikenakan bayar standard (kos haji) iaitu M40 sedangkan dia sebagai seorang pelajar.

“Maka dengan sebab itu, kita harapkan supaya ada mekanisme yang perlu dilakukan kerana kalau mereka tak mencukupkan bilangan macam RM19,152 ataupun RM33,003 mereka tak dianggap sebagai menerima tawaran haji tadi.

“Jadi ini agak menyukarkan jemaah haji tadi. Minta penjelasan,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini tadi.

Beliau berkata demikian dalam soalan asal lisan Dato’ Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) yang meminta kementerian menyatakan mekanisme yang dilaksanakan kerajaan bagi memendekkan tempoh giliran menunggu jemaah haji dan perancangan kerajaan.

Perkara ini bagi mempercepatkan giliran jemaah yang berusia atau warga emas supaya dapat menunaikan haji sementara masih sihat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan, meminta agar individu tersebut merujuk ke Tabung Haji.

“Kita akan cuba semak dan bantu sepertimana yang boleh dilakukan kerana kita ingin dapatkan maklumat tambahan bagi kes-kes spesifik dan tertentu,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/3/2024

- Advertisement -