Malaysia Timur, Pantai Timur ketinggalan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malaysia Timur dan Pantai Timur sejak dari zaman penjajah lagi telah begitu ketinggalan dari aspek pembangunan infrastruktur khususnya berbanding keutamaan yang diberi di bahagian Barat Semenanjung.

Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PN-Marang) berkata, walaupun negara sudah mencapai kemerdekaan melebihi setengah abad tetapi pembangunan infrastruktur khususnya Malaysia Timur masih lagi ketinggalan.

- Advertisement -

“Pantai Timur pula dinafikan royalti petroleum Terengganu, Kelantan,” ujarnya kemudian menjawab pencelahan Dato’ Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai pengertian Madani.

Menjawab pencelahan itu, beliau menyifatkan kerajaan hari ini umpama burung tiong yang hanya pandai meniru tuannya bercakap tetapi tidak memahami perkara yang diperkatakan.

Madani itu syarah beliau, sepatutnya disedari dengan maksud untuk berlaku adil kepada semua pihak termasuk juga kepada Ahli-ahli Parlimen pembangkang dan juga terhadap kerajaan-kerajaan negeri semuanya.

“Bila lepas pilihan raya tak kira siapa sokong kerajaan dan pembangkang ke mesti diberi peruntukan. Ini makna adil kerana bila kita pungut cukai, pungut daripada semua. cukai pakaian kita pakai, cukai makanan yang kita makan.

“Kastam tak tanya pakaian nak bagi siapa-siapa, kerajaan ke, pembangkang? Diambil cukai, hasil diambil semua. Bila diagih, dibeza-bezakan. Ini tak adil. Ini, benda yang terlalu principal.

“Yang jelas, hilangkan perkara tak molek (baik) ini barulah kita mewujudkan negara yang dipercayai oleh luar negara. Sekarang ini saya dengar, banyaklah kenyataan-kenyataan, pelabur-pelabur nak datang negeri kita.

“Kenyataan saja banyak pelabur-pelabur nak datang. Tapi tak datang-datang. Ini masalahnya. Ini yang berlaku. Negara kita masih diiktiraf dalam negara yang sedang membangun. Tak bangun-bangun. Sepatutnya jadi negara maju ini.

“Ini bukan kerana apa Tuhan beri negeri kita ini terlalu banyak hasil nadir bumilah, hasil pertanian, hasil galian termasuklah tenaga manusia. Tenaga Manusia pun kita ada, pakar-pakar pun kita ada. Tapi kalau tak diurus dengan baik tak memberi apa-apa makna dan faedah.

“Ini masalah yang kita hasilkan, yang kita hadapi, yang kita pikul tanggungjawab ini. Dan kita kena sedar Islam telah berjaya menarik orang lain berminat dengan Islam. Bila dilaksanakan, orang minat,” ujarnya pada Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menegaskan betapa Islam yang pernah memerintah sebahagian besar wilayah dunia, berjaya mewujudkan perpaduan dengan masyarakat majmuk pelbagai bangsa, agama dan budaya.

Jelasnya, semua mereka disatukan dengan Islam selari perintah Allah dalam ayat 103 surah ali-‘Imran termasuk bangsa Arab yang suka berperang sekalipun, serta dari agama Yahudi dan Kristian serta Majusi.

Presiden PAS itu menerangkan bahawa perdamaian itu telah menarik rakyat yang tidak ekstrem untuk bersama dalam perpaduan di mana ditekankan melalui konsep adil untuk semua.

“Janganlah sebab kamu bermusuh dengan sesuatu kaum kamu tak berlaku adil termasuk bermusuh di medan perang. Berperang dengan musuh. Mesti adil dengan musuh. Tak boleh zalim. Tak boleh melampau, tak boleh bunuh tawanan. Tak boleh musnahkan
harta-harta awam untuk orang ramai.

“Yang terlibat dengan ketenteraan sahaja. Ini adil dalam peperangan. Apa lagi terhadap rakyat termasuk rakyat bukan-Islam. Ini konsep yang diajar oleh Islam yang disebut dalam Perlembagaan Madinah. Ini mewujudkan suatu keadaan.

“Adil ni mestilah berpacak daripada pemimpin. Islam memerintah memilih pemimpin yang dirinya adil. Diri pemimpin itu adil terhadap diri dia sendiri. Disebut tidak fasik, tidak bohong, tidak menipu, tidak mungkir janji, tidak khianat.

“Pemimpin mesti adil. Tak melakukan dosa besar dan tak jadi adat berterusan melakukan dosa kecil. Ini istilah adil dalam Islam. Yang kedua adil terhadap semua. Ini dilakukan termasuk terhadap musuh kita,” ujarnya – HARAKAHDAILY 6/3/2024

- Advertisement -