Kelantan sediakan rumah alternatif untuk penduduk setinggan

Hilmi Abdullah
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan menyediakan rumah alternatif kepada penduduk setinggan yang tinggal di tanah milik Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) di Lot Pt 79, Seksyen 5, Jalan Atas Paloh.

Sebanyak 36 keluarga telah ditawarkan rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Kelochor itu, sementara 16 keluarga lagi ditawarkan berpindah ke Rumah Mampu Milik Kelantan (RMMK) Raudhah PKINK Badang.

- Advertisement -

Anggota Exco Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, kerajaan negeri begitu bertoleransi dengan 53 keluarga yang menyewa tanah terbabit sebelum ini.

Katanya, penduduk berkenaan tidak perlu membayar cukai kepada kerajaan ketika mendiami tanah tersebut.

Tambah beliau, sebelum rumah setinggan dirobohkan, banyak siri perbincangan diadakan PKINK dengan penduduk terbabit, yang mana sebahagian besar penduduk bersetuju berpindah ke PPR dan RMMK di Badang.

“Bagaimanapun, ada segelintir penduduk bertindak bertentangan dengan membawa kes tersebut ke mahkamah, dan akhirnya keputusan mahkamah berpihak kepada PKINK,” katanya dalam persidangan DUN, di sini, hari ini.

Menjawab soalan Dr Hafizah Mustaqim (PH-Kota Lama) Hilmi juga berkata, biarpun keputusan mahkamah berpihak kepada PKINK, namun kerajaan negeri sentiasa membuka pintu rundingan.

Menurut Hilmi lagi ketika menjawab soalan tambahan Nik Bahrum Nik Abdullah (PAS-Chempaka)pula, harga rumah yang ditawarkan kepada bekas setinggan terbabit jauh lebih murah berbanding dengan harga pasaran.

“Kerajaan negeri tiada niat tidak baik kepada rakyat, namun apabila diberi betis mereka minta paha pula.

“Ada rakyat tidak ikut saluran untuk melawan kerajaan. Kerajaan negeri sedar ada penduduk yang terpengaruh dengan pihak luar,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/3/2024

- Advertisement -