Perutusan Aidilfitri Presiden PAS 1445H

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH, marilah kita sama-sama menzahirkan rasa kesyukuran yang tidak terhingga ke hadrat Allah SWT atas kurniaan taufiq dan hidayah sebagai hamba-Nya dapat beribadat sepanjang bulan Ramadhan dengan sempurna.

Selama sebulan ditarbiah roh, jasad dan akal kita melalui ibadat puasa dan ibadat-ibadat yang lain bagi mengejar martabat taqwa sebagai matlamat utama yang ingin dicapai di penghujung Ramadhan.

- Advertisement -

Bulan Ramadhan juga menggalakkan kepada umat Islam agar memperbanyak infaq dan sedekah, serta menunaikan kewajipan zakat fitrah bagi membantu mereka yang memerlukan. Ia menjadi jambatan agar umat Islam terus menjalinkan hubungan persaudaraan dan memperkukuh perpaduan antara satu sama lain.

Oleh itu, marilah pada hari raya yang diberi Allah ini, supaya kita bergembira kerana bersyukur menunaikan ibadat puasa yang banyak fadilatnya bagi diri kita. Bukan sahaja pahalanya yang besar, bahkan mengajar kita supaya menjadi manusia yang baik hubungannya dengan Allah dan persaudaraan sesama kita.

Tunjukkan kesyukuran itu pula dengan bukti bertambah kuat berpegang kepada Islam dengan kuatnya hubungan kita kepada Allah dan tunjukkan kebaikan Islam kepada mereka dengan bersaudara dan bermaafan.

Bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS), saya dengan penuh rasa kesyukuran ingin mengucapkan ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri’ kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam, sama ada yang berada di dalam negara mahupun di perantauan.

Mudah-mudahan, kita beroleh ketaqwaan dan terus beristiqamah dalam menjalankan ketaatan kepada Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya.

تقبل الله منا ومنكم، كل عام وأنتم بخير
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
– HARAKAHDAILY 10/4/2024

- Advertisement -