Kedah bakal wujudkan kampung tersusun di bandar

Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah berhasrat mewujudkan kawasan penempatan kampung tersusun di bandar-bandar, bagi mengatasi masalah kediaman dialami warga bandar yang berpendapatan rendah serta tidak memiliki rumah sendiri.

Menteri Besar Kedah, Dato’Seri Muhammad Sanusi Md Nor (PAS-Jeneri) berkata, kebanyakan penduduk Melayu di bandar yang tidak mempunyai rumah sendiri tinggal di rumah setinggan yang dibina di tanah rezab kerajaan seperti di pinggir sungai dan jalan raya. 

- Advertisement -

Menurut beliau, sebagai bandar tua yang didiami penduduk yang telah berusia, pembinaan rumah pangsa agak kurang sesuai; berbeza dengan bandar-bandar baharu seperti Kulim, Sungai Petani, Kubang Pasu dan lain-lain.

“Orang Kedah kena belajarlah tinggal di rumah tinggi (rumah pangsa), tetapi Alor Setar bandar tua, penduduknya juga telah berusia…berbeza di Sungai Petani, Kulim, Kubang Pasu dan lain-lain, boleh rancang bina rumah pangsa untuk penduduk yang tiada rumah sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dato’ Dr Mohd Hayati Othman (PAS-Tokai) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di Wisma Darul Aman, di sini. hari ini. 

Dr Hayati dalam soalan tambahannya memohon pendekatan kerajaan negeri untuk membantu penduduk bandar yang tidak mempunyai kediaman sendiri khususnya yang tinggal di rumah setinggan dan tanah rizab kerajaan.

Mengulas lanjut, ujar Sanusi, sebelum ini terdapat Program Perumahan Rakyat (PPR) iaitu rumah kos rendah untuk penduduk Melayu di bandar, termasuk juga kaum lain khususnya  berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri namun di era pemerintahan negara kini, dasar itu tidak diteruskan lagi. 

“Saya mengharapkan dalam tempoh ini (pentadbiran PN) akan ada kediaman penduduk miskin di bandar dibina agar masalah berkenaan dapat diatasi,” tambah beliau.

Dalam perkembangan yang sama, beliau turut memaklumkan bermula 2020 hingga 2023, pihaknya telah meluluskan seluas 326,262 hektar tanah untuk pemilikan geran melibatkan 803 lot permohonan dengan jumlah premium sebanyak  RM2,145,522.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu juga memaklumkan, permohonan geran pemilikan tanah itu telah dibuat oleh pemohon sejak 20 hingga 30 tahun lalu namun atas kepentingan politik pihak tertentu, kelulusannya ditangguh.

“Mengikut dasar yang ditetapkan setiap kelulusan tidak melebihi 10 ekar, jadi kita perkecilkan sedikit saiz dengan meluluskan setiap permohonan tanah pertanian seluas lima ekar. Untuk kelulusan tanah kediaman luasnya lebih kecil dari tanah pertanian,” jelasnya.. 

Terdahulu, lebih 7,300 geran tanah dan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) diluluskan dalam tempoh tiga tahun sejak PERIKATAN NASIONAL (PN) mengambil alih tampuk pemerintahan negeri bermula 17 Mei 2020 lalu.

Jumlah itu merupakan satu rekod dalam negara kerana tiada kelulusan hak milik sebanyak itu di negeri-negeri lain. – HARAKAHDAILY 6/3/2024

- Advertisement -