
KOTA BHARU: Sebanyak 15 jenis persembahan kebudayaan seperti dikir barat, silat, gedombak Siam, tarian India, gendang 24 musim, dan nyanyian dari artis tempatan bakal mengisi majlis Pelancaran Tahun Melawat Kelantan (TMK) 2024 pada 25 Febuari ini.
Majlis perasmian TMK 2024 yang bertemakan ‘Food, Family and Festival’ itu juga bakal menyaksikan seramai 270 orang peserta akan terlibat dengan dengan persembahan dengan melibatkan 100 alat pergendangan dan muzikal yang ada di Kelantan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Kamaruddin Md Nor berkata, majlis gilang gemilang itu bakal disempurnakan Tengku Mahkota Kelantan pada jam 8 malam di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad Ke-1V, di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Kamaruddin Md Nor berkata, pelbagai aktiviti dan persembahan menarik telah disusun sempena majlis pelancaran itu nanti.
“Saya menyeru kepada semua rakyat Kelantan untuk bersama-sama memeriahkan majlis yang penuh bermakna ini,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Penolong Setiausaha (Pelancongan dan Kebudayaan), Pusat Penerangan Negeri Kelantan (TIC), Mohd Zaki Ismail.
Dalam pada itu, Kamaruddin turut memberitahu bagi merancakkan sektor pelancongan di Kelantan, kerajaan negeri mengambil beberapa tindakan strategik antaranya meningkatkan prasarana awam pelancongan melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Selain itu, usaha dilakukan untuk menggalakkan penglibatan pengusaha tempatan untuk membangunkan dan mempromosikan lokasi yang menyumbang kepada pembangunan pelancongan negeri,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/2/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!