
GOMBAK: Pengerusi Pembela Tanah Air (PETA), Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard menyifatkan pihak yang sedang cuba mengambil tanah didiami penduduk bagi pelbagai tujuan pembangunan di sini sebenarnya sedang berhadapan dengan ‘keturunan pejuang’.
Menurutnya, daerah ini pernah diisytiharkan sebagai kawasan untuk membina empangan pada tahun 1980-an dahulu tetapi datuk nenek dahulu membantah hingga penempatan tersebut kekal diduduki.
Tegas beliau, mereka harus sedar agar tidak mengulangi nasib seperti penempatan Melayu di Abdullah Hukum Kuala Lumpur yang tidak wujud lagi orang Melayu di situ setelah ianya dibangunkan.
“Kita tak nak (sejarah seperti itu) berlaku di Gombak. Ini tanah kita dan bukan sehari. Ia melibatkan ratusan tahun dan bila datang Tun Razak (Hussein) kena ingat bahawa Timbalan Perdana Menteri pun Umno …. Supaya suruh orang Melayu pindah balik kawasan bandar.
“Berkorban jadi tenaga kerja. Datuk nenek kita, moyang kita datang bandar. Jadi pekerja. Maka bangunlah Kuala Lumpur yang ada hari ini. Tapi bila datang pembangunan, bukan kita tentang, tidak, kita mengalu-alukan pembangunan.
“Kita faham negara perlu maju tetapi kenapa pula tiba-tiba saya tak tahu juga di mana silapnya apa ni ECRL, highway apa semua ni tak lalu kampung bukan-Melayu. Lalu kampung Melayu sahaja semua.
“Eh kita nak diam ke? Siapa punya kerja? Kampung bukan-Melayu kamu pula bagi bajet tambahan dengan nak isytihar UNESCO. Padahal selepas Henry Gurney datang Rancangan Briggs baru ada Kampung Baru Cina 1948,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Tapak Sejarah Wali 7 Kampung Sungai ChinChin Batu 7, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa; Penyelidik Sejarah dan Penulis Ahli Arkeologi (IAAM), Zaharah Sulaiman; Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Gombak, Mohamed Yusof Sulaiman, Biro Guaman Jawatankuasa Bertindak Gombak, Zolazrai Zolkapli, wakil ADUN Gombak (Muhammad Hilman Idham) dan ramai lagi.
Sehubungan itu PETA, ujar beliau, akan bersama penduduk berjuang mempertahankan walau seincipun tanah diduduki mereka kerana daerah itu merupakan rumah mereka serta tidak patut diusir.
Tambah beliau, isu seumpama itu sedang berlaku bukan hanya di Gombak, tetapi seluruh negeri Selangor, dan beliau percaya jika Gombak diusik maka perkara sama akan mengusik juga tempat-tempat lain.
“Kena ingat Selangor pernah tumbangkan Barisan Nasional sebab apa? Kempen setinggan sifar Kampung Berembang ingat itu dulu. Tumbang kerajaan negeri.
“Kali ni kalau kamu usik Gombak, silap-silap bukan kerajaan negeri, Kerajaan Malaysia boleh tumbang. Ini bukan politik. Tapi ini hak rakyat. Ini hak kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/2/2024




















