Platform kurangkan jurang bidang teknikal, keagamaan

Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail
- Advertisement -

KOTA BHARU: Satu platform perkongsian informasi dan kemahiran teknikal perlu diwujudkan kepada pelajar tahfiz dan pondok sebagai usaha mengurangkan jurang antara bidang teknikal dan keagamaan.

Pengerusi Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, institusi pondok dan tahfiz ialah sebuah institusi pendidikan dan pentarbiahan penting di Kelantan. 

- Advertisement -

Justeru katanya, sebanyak enam institusi pondok, maahad tahfiz termasuk yayasan anak yatim dipilih untuk menyertai program permulaan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) melalui Program Perintis TVET Tahfiz Pertanian Kerajaan Negeri Kelantan.

“Bermula 16 Disember 2023 hingga 30 November 2026, enam institusi terpilih itu akan dikenali sebagai Syarikat SLDN. Manakala Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) pula berperanan sebagai pusat latihan bermula sejak 1 Januari lepas hingga 31 Disember 2026.

“Bagi permulaan program Perintis TVET Tahfiz di bawah kendalian KPKB, institusi pendidikan yang terpilih ialah Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Balaghulmubin, Rong Chenok To’Uban dan Maahad Tahfiz Daril Ulum Meranti di Pasir Mas.

“Dua lagi ialah di Pasir Puteh iaitu Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI) Tahfiz Tok Guru Huffaz Agro Farm dan Pondok Dakwah Islamiah Sri Permai Seligi. Di Kota Bharu pula ialah Pondok Al-Fununiah Al-Ghazaliah, Tunjong. 

“Sementara bagi bukan TVET Tahfiz di bawah kendalian KPKB pula ialah YAATIM, Taman Sabariah, Kota Bharu,” ujarnya pada Majlis Penyerahan Sijil Pentaulihan SLDN kepada Pusat Latihan Syarikat SLDN.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADUN) Selising itu berkata, setakat ini seramai 50 orang bagi setiap institusi dengan jumlah keseluruhan terlibat adalah 300 peserta yang dibenarkan oleh pihak Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) untuk setiap pondok, tahfiz dan yayasan anak yatim berjaya ditauliahkan.

“Diharapkan agar pengurusan KPKB menjadikan 37 buah pondok di bawah kelolaan Pusat Pembangunan Pondok Berhad dan Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan 57 buah tahfiz swasta yang direkodkan dapar terlibat dalam program SLDN bagi memberi nilai tambah sistem pondok dan tahfiz di Kelantan,” katanya.  HARAKAHDAILY  2/2/2024

- Advertisement -