KUALA LUMPUR: Terengganu tidak ketinggalan untuk turut serta melaksanakan Hari Hijab Sedunia dikenali sebagai Terengganu Hijab Day (THD).
Pengerusi Badan Bukan Kerajaan (NGO) KT Care, Azizah Mahmood berkata, Hari Hijab Sedunia yang disambut pada 1 Februari setiap tahun telah dicetuskan oleh pempengaruh terkenal, Nazma Khan yang bermula pada 2013.
“Tujuannya adalah untuk menggalakkan wanita dari latar belakang dan agama berlainan untuk memakai dan mengalami kehidupan berhijab.
“Najma telah memperkenalkan Hari Hijab Sedunia selepas dibuli dan menjadi mangsa diskriminasi kerana berhijab.
“Kebanyakan orang menganggap hijab sebagai simbol penindasan. Dengan acara ini, diharapkan dapat mengubah fikiran orang bukan Islam tentang mengapa wanita Islam memilih untuk memakai hijab,” jelasnya.
Menurut Azizah, THD bukan hanya suatu agenda tahunan yang dilakukan di negeri itu, malah ia merupakan satu platform penting bagi umat Islam dalam menyebarkan dakwah kepada golongan wanita tentang kewajipan menutup aurat.
“Program ini mencerminkan komitmen negeri untuk mewujudkan kehidupan yang harmoni dan berlandaskan nilai-nilai syariah,” ujarnya.
Tambah beliau, kepentingan program ini diadakan adalah bagi melahirkan generasi wanita yang mengikut syariat Islam dengan berpakaian patuh syariah sejajar dengan Dasar Wanita Terengganu yang dirasmikan oleh Exco Kerajaan Negeri, Hanafiah Mat.
“Program sebegini amat bagus untuk mendidik wanita muslimah tentang batas dan juga aurat,” katanya.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Terengganu, Zuraida Md Noor pula berkata, “Siapa kata kalau bertudung, tak boleh bersukan?”
“Di negeri Terengganu sendiri, kita memang menggalakkan para wanita untuk menjalani kehidupan secara sihat dan aktif.
“Kempen THD bermula sejak tahun 2019 di Terengganu dan tahun ini, Alhamdulillah sudah memasuki tahun keenam penganjurannya.
“Bermula awal Februari ini juga kita sudah mula menggerakkan gelombang THD. Tahun ini, kita tampil dengan kempen yang lebih bernafas baharu dan malar segar bertepatan juga dengan Kempen Indahnya Hidup Bersyariat oleh Kerajaan Negeri Terengganu,” jelasnya.
Tambah beliau, dengan bertemakan ‘Indahnya Berhijab’, fokus tidak hanya diberikan kepada golongan wanita sahaja sebaliknya THD juga bermatlamat untuk menyedarkan golongan lelaki untuk lebih cakna tentang kewajiban ahli keluarga menutup aurat dengan sempurna.
Sehubungan itu, Ahli Jawatankuasa Ameerah DUN Seberang Takir, Tengku Syamimi Najihah Tengku Mustafha berkata, dengan menyokong program ini, pihak kerajaan berusaha menyampaikan pesanan tentang kepentingan berhijab kepada wanita yang belum melakukannya.
“Salah satu perkara yang perlu sokong adalah kerana kita nak sampaikan dakwah kepada wanita-wanita yang masih belum berhijab untuk berhijrah.
“Dengan itu, kita mahu semua wanita menutup aurat dengan sempurna.Kenapa wanita muslim diwajibkan berhijab. Adanya program ini dapat memberikan pemahaman buat wanita-wanita yang masih berada di dunia,” ujar beliau.
Justeru, beliau berharap agar semua rakyat negeri Terengganu menyokong program yang dianjurkan oleh kerajaan negeri, bertujuan menyempurnakan perkara yang telah ditetapkan oleh syariat Islam. – HARAKAHDAILY 2/2/2024