‘Sampai masanya Bank Negara tidak lagi berselindung…’

Muhammad Zahid
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Macam mana nak selesaikan masalah-masalah ekonomi rakyat seandainya kesan penciptaan wang  (money creation) oleh sistem perbankan, khususnya bagaimana wang tercipta dan hala tujunya masih belum difahami?”

Timbalan Pengerusi Pertubuhan Gerakan Keadilan Monetori Malaysia, Muhammad Zahid Abdul Aziz berkata, penciptaan wang telah memainkan peranan besar dalam mempengaruhi ekonomi sesebuah negara tetapi tidak pernah dikenalpasti baik buruk haluannya oleh mana-mana pakar ekonomi.

- Advertisement -

Menurut beliau, kebanyakan pakar ekonomi menganggap setiap bank hanya sekadar entiti yang neutral  tetapi tidak menyedari bahawa institusi-institusi tersebut menghasilkan kesan buruk dalam sistem penciptaan wang (jenis nombor) yang ada di seluruh dunia. 

“Kita boleh lihat pelbagai masalah yang berlaku oleh sebab liar dan tidak terkawalnya penciptaan wang seperti penghalaan wang kepada pinjaman peribadi, kad kredit dan sektor peribadi secara majoriti dan bukan kepada ekonomi yang sebenar,” katanya. 

Menurut beliau, ini yang mengakibatkan kenaikan inflasi umum, lonjakan kos sara hidup, lonjakan harga rumah, peningkatan jurang antara miskin dengan kaya, pengangguran anak muda dan graduan, gaji rendah dan seumpamanya.

“Namun, perkara halatuju wang ini tidak pernah dibicarakan oleh mana-mana pakar ekonomi sekalipun,” tegasnya kepada HarakahDaily

Tambah beliau, perkara sebegini berlaku kerana pakar-pakar ekonomi tidak memahami bahawa bank mencipta 95 peratus wang negara dalam bentuk nombor di akaun apabila meluluskan pinjaman/pembiayaan. 

Kata beliau lagi, hakikatnya setiap bank tidak terhad kepada deposit tunai untuk membuat pinjaman, yang tidak disedari orang ramai. 

Perkara ini telah disahkan oleh Bank of England, European Central Bank hatta Federal Reserve Amerika.

“Sampai masanya Bank Negara Malaysia (BNM) tidak lagi berselindung; dan terangkan kepada negara dengan sejelas-jelasnya bahwa bank boleh cipta deposit dari atas angin untuk membuat pinjaman.

“Ini bukan sahaja berlaku dalam bank-bank konvensional tetapi juga dalam mana-mana perbankan Islam,” jelasnya.

Perkara sebegini, ujar beliau, telah menyebabkan pakar-pakar ekonomi hanya memberikan solusi berasaskan turun naik kadar faedah semata-mata iaitu apabila inflasi naik maka mereka cadang menaikkan kadar faedah, nak bantu rakyat yang terkesan  daripada krisis ekonomi akibat Covid-19 maka turunkan kadar faedah, dan seterusnya.

“Dengan lain kata, apa pun krisis ekonomi yang berlaku maka solusi yang ditawarkan hanyalah melalui turun naik kadar faedah tetapi kesannya tak banyak kejayaan pun yang dicapai.

“Ini kerana kita harus tadabbur hadis Rasulullah SAW yang mafhumnya bersabda semua keuntungan yang diperoleh melalui hutang ialah riba,” hujahnya. 

Apabila ditanya menyatakan faktor mengapa  perkara-perkara tersebut berlaku, beliau menyatakan pakar-pakar ekonomi itu sendiri hanya berkiblatkan kepada ilmu ekonomi legasi barat yang sememangnya terpesong.

“Bukan itu sahaja, mereka ini juga hanya menjadikan tokoh-tokoh ekonomi legenda seperti John Maynard Keynes, Adam Smith, David Ricardo, dan seumpamanya sebagai rujukan utama tanpa menyedari ilmu baru dunia, dan jauh sekali memertabat ilmu dari pandangan al-Quran dan Sunnah,” kongsinya. 

Beliau menasihatkan sesiapa yang mengajar subjek ekonomi di mana-mana institusi pendidikan supaya benar-benar peka dan mengajar tentang realiti sebenar yang berlaku.

Tambah beliau, perkara ini juga perlu diamalkan oleh mana-mana pakar ekonomi sekalipun memandangkan masalah sebegini tidak akan selesai selagi kita tidak melakukan perubahan terhadap sistem perbankan dan sistem kewangan itu sendiri. 

“Apa pun saya tetap menentang sistem monetari ini, hasil keterpesongan ilmu yang perlu diperbaiki. Ia perlu diperbaiki dan digantikan dengan sistem ekonomi, berpandangan dalam, dan berasaskan Islam yang sebenar,” katanya.  HARAKAHDAILY 19/12/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!