Ahli Parlimen PN keluar dewan, solidariti bersama Dr Radzi Jidin

Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL diketuai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, meninggalkan Dewan Rakyat. - Foto Jabatan Penerangan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL (PN) meninggalkan Dewan Rakyat beramai-ramai sebagai solidariti bersama Ahli Parlimen Putrajaya yang dikenakan tindakan keluar dewan selepas mendesak Perdana Menteri menarik balik kenyataan terhadapnya.

Mantan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, menyifatkan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim berniat jahat kerana menuduh beliau melakukan salah laku.

- Advertisement -

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, sebelum itu memberitahu dewan bahawa tindakan Radzi adalah demi mempertahankan maruah dirinya yang dituduh oleh Perdana Menteri.

Menurut Hamzah, semua Ahli Parlimen PN akan bersama-sama meninggalkan dewan jika Ahli Parlimen Putrajaya dikenakan tindakan.

Sebelum kekecohan itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun memberikan penerangan mengenai isu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada 47 pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram, baru-baru ini.

Ketika berucap pada sesi penggulungan pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12, Anwar berkata kepada Radzi: “You boleh gelak… you boleh gelak Putrajaya, kerana you buat perkara itu.

“Semasa pentadbiran (PN) you buat perkara itu.”

Datuk Dr Radzi Jidin bertegas mahu mempertahankan maruah dirinya. – Foto Jabatan Penerangan

Radzi bingkas bangun membantah kenyataan itu dan mendesak Anwar menarik balik kata-katanya kerana mendakwa kenyataan itu berniat jahat kerana menuduh beliau melakukan salah laku.

Ahli Parlimen PN lain termasuk Datuk Awang Hashim (Pendang), Datuk Ahmad Amzad Mohamed (Kuala Terengganu) dan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (Besut) turut bangun mendesak Perdana Menteri menarik balik dakwaannya.

Radzi pula bertegas mendesak Anwar menarik balik kenyataannya, manakala Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul meminta beliau duduk bagi memberi laluan kepada Perdana Menteri memberi penjelasan.

Walaupun Anwar memberi penjelasan, Radzi berkata kenyataan ulangan itu tidak sama seperti kenyataan asalnya.

Ketegasan Radzi yang terus mendesak Perdana Menteri menarik balik kenyataannya menyebabkan Johari mengarahkan beliau keluar dari Dewan Rakyat. – HARAKAHDAILY 19/9/2023

- Advertisement -