DUNGUN: Seorang pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU), Nor Dhiya Dhalieya Mohammad Nor, 9 tahun, telah lebih setahun berdepan kepayahan untuk bergerak menjalani rutin kehidupan dan pembelajaran di sekolah.
Murid Darjah 3 Sekolah Rendah Kebangsaan Paka 2 itu terpaksa menempuh kesukaran demikian ekoran kaki palsu dipakainya selama ini telah uzur dan rosak, namun sukar mendapatkan ganti yang baharu.
Ia berikutan kos untuk kaki palsu baharu yang sesuai dengannya amat mahal di mana di luar kemampuan ibu dan bapanya kerana mereka hanya berpendapatan RM1,600 sebulan.
Sedangkan, jumlah perbelanjaan keluarga mereka pula sekitar RM1,900 sebulan yang tentunya jauh dari kemampuan untuk mendapatkan kaki palsu berharga antara RM17,000 hingga RM25,000.
Selain Dhiya, bapanya Mohammad Nor Omar, 34 tahun, yang bekerja sebagai buruh kasar dan ibunya, Suhaila Nor Azura Mohd Shukri, 33 tahun, seorang suri rumah perlu juga menanggung empat anak lagi.
Selama tempoh beberapa ketika ini, Suhaila telah berusaha bertemu banyak pihak terutama institusi perubatan dan berkaitan untuk memohon mendapatkan kaki palsu ganti baharu untuk anaknya itu.
Malangnya, tiada peruntukan dapat diberikan untuk tujuan tersebut hingga menyebabkan keluarga ini buntu menghadapi kesedihan Dhiya untuk menjalani kehidupannya seperti sedia kala.
Ibu kepada lima anak itu berkata, dia bersama suami tidak berkemampuan untuk membeli sendiri kaki palsu itu selain hanya menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM200.
“Setiap tiga bulan sekali, saya akan bawa Dhiya pergi ke Hospital Rehabilitasi Cheras Kuala Lumpur untuk temu janji bersama doktor selain menerima rawatan susulan.
“Jadi segalanya menelan kos yang banyak termasuk kos pengangkutan dan penginapan selama berada di Kuala Lumpur,” ujarnya.
Sehubungan itu, keprihatinan orang ramai diharap dapat membantu anak ini untuk membolehkan dia bergerak seperti sebelum ini menerusi sumbangan yang dapat di hulurkan langsung kepadanya.
Sebarang sumbangan derma dapat disampaikan menerusi akaun Maybank 163082317078 atas Shuhaila Norasmira dan sebarang pertanyaan boleh hubungi 019-911 8395. – HARAKAHDAILY 19/9/2023