
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Putrajaya menyifatkan sidang Dewan Rakyat, hari ini sebagai `hari hitam buat Parlimen Malaysia’ selepas diarahkan keluar dewan apabila bertegas mahu Perdana Menteri menarik balik tuduhan yang dibuat terhadap dirinya.
Datuk Dr Radzi Jidin berulang kali menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim berbuat demikian, tetapi bukan saja tidak dilayan malah diarahkan keluar.
Sehubungan itu, beliau meminta rakyat Malaysia melihat peristiwa itu kerana Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL (PN) dalam Dewan Rakyat menghadapi pelbagai tuduhan tanpa sebarang bukti.
“Malah, apabila diminta supaya kenyataan itu ditarik balik pun tak boleh. Kami pun tidak mendapat keadilan, bagaimana untuk rakyat,” kata bekas Menteri Pendidikan pada sidang media di lobi Parlimen. Turut hadir Ahli Parlimen Kubang Kerian yang juga Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau menyifatkan tidak munasabah untuk Anwar menuduhnya ketika memberi penjelasan mengenai keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi dalam kes rasuah yang dihadapinya.
“Permintaan saya tak susah. Cuma minta Ahli Parlimen Tambun menarik balik kenyataan, itu sahaja kerana melibatkan tuduhan kepada saya.
“Ini perkara yang sangat straight forward (berterus terang). Itu sahaja. Kenapa nak pertahankan benda yang tidak betul? Kenapa nak pusing-pusing jawapan,” katanya.
Ahli Parlimen PN sebagai tanda solidariti keluar dari dewan selepas Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengarahkan Radzi keluar.
Bagaimanapun, Dato’ Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) terus berada dalam dewan kerana masing-masing mahu mengemukakan soalan kepada Perdana Menteri.
Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin, pula berkata tindakan Ahli Parlimen PN keluar dewan juga sebagai protes terhadap Johari kerana berlaku ketidakadilan.
Katanya, Yang di-Pertua Dewan Rakyat sepatutnya melakukan sesuatu mengikut legislatif dan bukan menjadi seorang peguam.
Hamzah turut mendakwa perbuatan Anwar dalam “memusingkan” kenyataan sebelum itu menunjukkan suatu pembohongan berlaku di dewan menyebabkannya bangun dan berkata jika keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertua tidak adil kepada ahli parlimen pembangkang, maka berada dalam dewan bermakna mengakui bahawa pembohongan itu benar. – HARAKAHDAILY 19/9/2023