Usah terikat capai defisit fiskal rendah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) mencadangkan kepada kerajaan supaya tidak terlalu terikat dengan sasaran mencapai defisit fiskal lebih rendah, jika terdapat keperluan mendesak untuk mengembangkan perbelanjaan fiskal bagi merancakkan pertumbuhan.

Menurutnya, memang ada keperluan untuk memastikan kadar defisit fiskal negara berada pada tahap munasabah dan mengamalkan perbelanjaan fiskal berhemat.

- Advertisement -

“Namun, kita tidak harus terikat dengan sasaran mencapai defisit fiskal lebih rendah, jika terdapat keperluan mendesak untuk mengembangkan perbelanjaan fiskal bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi,” katanya ketika sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau juga mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan agensi tunggal yang berfungsi sebagai pusat sehenti bagi menyelaras bantuan kepada golongan memerlukan.

Menurutnya, selepas mengambil kira tekanan kos sara hidup dihadapi rakyat dan unjuran kadar inflasi lebih tinggi dengan jangkaan kadar purata inflasi tahunan antara 2.8 hingga 3.8 peratus setahun, antara lain disebabkan oleh pelaksanaan subsidi bersasar.

Sehubungan itu, katanya, amat penting bagi penubuhan sistem jaringan keselamatan sosial holistik, sistematik dan teratur, selain ia tidak memerlukan perjawatan baharu dan penjajaran anggota perkhidmatan awam berkaitan pelbagai program bantuan rakyat boleh dibuat.

“Ini membolehkan kementerian dan agensi merangka program dan inisiatif bantuan rakyat, tetapi agensi tunggal akan membuat penilaian bagi penerima yang layak dan nilai sepatutnya diterima mereka,” katanya.

Beliau berkata, penilaian dibuat berpandukan maklumat dalam pangkalan data bagi memastikan tiada pertindihan bantuan dan tiada seorang pun yang layak, tertinggal daripada menerima bantuan. – HARAKAHDAILY 14/9/2023

- Advertisement -