KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat, hari ini dikejutkan apabila Ahli Parlimen Muar mendedahkan peruntukan pembinaan empat dewan sekolah di Muar yang sudah diluluskan tiba-tiba disekat.
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, perkara itu berlaku selepas beliau tidak lagi berada dalam blok Kerajaan Madani.
“Kita sudah lama lulus peruntukan bagi membina dewan di empat sekolah di Muar, namun selepas saya tidak lagi menyokong Kerajaan Madani, peruntukan tersebut tiba-tiba disekat.
“Sedangkan kemudahan itu untuk kegunaan pelajar di sekolah dan bukan untuk wakil rakyat.
“Sekat peruntukan kepada pembangkang bermakna menganiayai penduduk di kawasan tersebut,” katanya ketika mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12.
Baru-baru ini, Syed Saddiq mengumumkan menarik diri sebagai penyokong kerajaan berkuat kuasa serta merta dan memilih menjadi pembangkang kuasa ketiga dalam Dewan Rakyat.
Menurutnya, antara sebab utama tindakan itu kerana kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat bertentangan dengan prinsip kedaulatan undang-undang.
Katanya, keputusan Peguam Negara melepaskan tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi daripada 47 kes pertuduhan ketika prosiding berada di peringkat bela diri, tanpa penjelasan meyakinkan, menimbulkan banyak tanda tanya.
Ahli Parlimen Muar berkata, peruntukan yang dijanjikan menteri sebelum ini yang boleh memohon secara terus, namun tidak dilaksanakan sehingga sekarang.
“Menteri kata boleh dimohon terus peruntukan kepada kementerian, namun saya lama tunggu bila pelaksanaan akan diadakan,” katanya.
Beliau juga berkata, perkataan tatakelola disebut sebanyak 25 kali oleh Perdana Menteri ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal RMK12.
Namun, kebimbangannya ialah rakyat tidak mempercayai tatakelola seperti disebut tersebut kerana selepas pilihan raya berlaku berlainan dengan apa yang dijanjikan.
“Kerajaan menggugurkan tuduhan rasuah terhadap seorang pemimpin kerajaan, bagaimana rakyat hendak percaya.. bagaimana pelabur hendak percaya.
“Saya bimbang rakyat silap faham sehingga ada yang menggambarkan tangan kiri lawan rasuah, tangan kanan bebaskan rasuah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/9/2023