Peserta Felo Perdana tipu sijil, diberhentikan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Seorang peserta Felo Perdana 2023 yang ditempatkan di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan diberhentikan penglibatannya dalam program itu kerana mengemukakan sijil tidak tulen.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan media berkata, pelajar universiti awam di ibu negara itu telah menyenaraikan beberapa pencapaian semasa permohonan program berkenaan, namun semakan lanjut mendapati sijil yang dikemukakan bagi satu pencapaian yang disenaraikan adalah tidak tulen.

- Advertisement -

“Justeru berkaitan isu ini, beliau akan ditamatkan daripada menyertai program Felo Perdana kerana telah melanggar terma perjanjian program,” menurut kenyataan itu semalam, susulan tular isu berkaitan peserta Felo Perdana terbabit.

Terdahulu, warga siber di web sosial media X, mempersoalkan pemilihan seorang Felo Perdana di MITI yang dikatakan terpalit isu kontroversi selain menyenaraikan pencapaian yang meragukan.

Program Felo Perdana merupakan program pementoran dan latihan amali yang bermatlamat melahirkan belia berdaya saing dan memahami sistem pentadbiran negara.

Pengambilan semua Felo adalah melalui prosedur yang ditetapkan oleh Jabatan Belia dan Sukan (JBSN) dan tapisan keselamatan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO).

Sejak diperkenalkan pada 2013, program itu telah melatih 763 belia terdiri daripada lepasan dan penuntut institut pengajian tinggi.

- Advertisement -