`Ini menghina mahkamah dan saya sebagai wakil rakyat’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Datuk Ahmad Amzad Hashim menyifatkan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan menghina beliau dan mahkamah apabila mendakwa PERIKATAN NASIONAL (PN) mencalonkan semula calon yang melakukan rasuah dan sogokan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu, 12 Ogos lalu.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu membangkitkan isu itu pada permulaan sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.

- Advertisement -

Menurutnya, tindakan itu dilakukan mengikut Peraturan Mesyuarat 36 (6) yang menyatakan ahli dewan tidak boleh mengeluarkan sangkaan jahat terhadap ahli lain dan mendesak Mohd Sany dari Pakatan Harapan (PH) menarik balik dakwaan itu.

Menurut Ahmad Amzad, kenyataan Ahli Parlimen Hulu Langat ketika mencelah perbahasan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) pada sesi perbahasan semalam, juga tular di media sosial.

“Saya memetik kata-kata Hulu Langat – ‘mahkamah putuskan ada isu berlaku kesalahan dan kemenangan calon Kuala Terengganu dibatalkan dan PN mencalonkan semula semula calon yang lakukan amalan rasuah dan sogokan’.

“Ini menyimpang daripada warta keputusan hakim mahkamah yang tidak mensabitkan saya dengan kesalahan amalan rasuah dan dalam warta penghakiman tidak menamakan mana-mana pihak.

“Ini menghina mahkamah dan menghina saya sebagai wakil rakyat. Apa yang disabitkan adalah berkaitan program kerajaan dan mahkamah dalam keputusan sama di Kuala Terengganu, di Marang telah memberi keputusan berbeza dan Ketua Pengarah SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) menyatakan pemberian insentif kerajaan tiada unsur rasuah,” katanya.

Beliau berkata, kenyataan itu menghina dirinya sebagai Ahli Parlimen Kuala Terengganu dan perlu ditarik balik.

Sementara itu, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor, mencadangkan kepada Ahmad Amzad supaya mengemukakan usul, sama ada mengikut Peraturan Mesyuarat 36, 18 atau 17 untuk dewan memutuskan isu berkenaan.

“Apa yang dibangkitkan itu ada caranya… saya sarankan Yang Berhormat Kuala Terengganu ambil remedi buat usul 36 atau 18 atau 17, bangkitkan perkara itu untuk diputuskan,” katanya.

Ahmad Amzad berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu dalam PRK 12 Ogos lalu yang diadakan semula selepas kemenangan beliau dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November lalu dibatalkan atas dakwaan rasuah pengundi.

Beliau menang semula dengan majoriti lebih besar, iaitu 47,266 undi berbanding majoriti 40,907 undi pada PRU15. – HARAKAHDAILY 14/9/2023

- Advertisement -