Andalusia taja umrah 30 peserta PERTIS

Andalusia telah menaja penuh seramai 30 orang peserta daripada Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) untuk menunaikan umrah buat pertama kali.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Syarikat Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) telah menaja penuh seramai 30 orang peserta daripada Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) untuk menunaikan umrah buat pertama kali.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Md Daud Che Ngah berkata, ini merupakan antara sesuatu kejayaan yang luar biasa bagi pihak Andalusia kerana berjaya melakukan perkara tersebut yang mana 20 orang PERTIS adalah cacat penuh manakala 10 orang dikategorikan sebagai cacat separuh.

- Advertisement -

Menurut beliau, seramai 11 orang sukarelawan dan seorang mutawif yang akan bersama-sama dengan jemaah ini sepanjang 12 hari dan 10 malam di Makkah dan Madinah.

Tambahnya, rombongan jemaah ini akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan dengan setiap tiga orang jemaah akan ditemani oleh seorang sukarelawan.

“Tujuan Andalusia beri tajaan ini kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) cacat penglihatan adalah untuk memberi peluang kepada mereka supaya dapat merasai dan menjejakkan kaki di bumi Al-Haramain kota Makkah dan Madinah walaupun mereka ada kekurangan penglihatan.

“Tambahan pula, ini adalah penutup CSR Andalusia bagi musim umrah 1445 Hijrah dan kita doakan semoga program ini berterusan di masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan di Terminal Perlepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1, di sini, hari ini.

Sementara itu, Naib Yang Dipertua PERTIS, Jasmadin Budin mengucapkan terima kasih kepada pihak Andalusia Travel kerana atas tajaan tersebut.

Beliau menyatakan, tidak menyangka sama sekali dapat menunaikan umrah secara percuma dan meluahkan rasa syukur atas nikmat kurniaan Allah SWT itu.

“Terus-terang kebanyakan daripada kami bukanlah dalam golongan berkemampuan dalam menunaikan umrah, justeru kami benar-benar berterima kasih kepada pihak Andalusia kerana sudi menaja kami sepenuhnya ke Makkah.

“Kami akan menggunakan kesempatan ini untuk benar-benar beribadah kepada Allah SWT dan mendekatkan diri kepada-Nya,” katanya.

Perasaan gembira tersebut juga dikongsi oleh Ketua Unit Penerbitan PERTIS, Muhamad Firdaus Hairi, 36, dan Pengurus Operasi PERTIS, Zamzuri Ghani, 45.

Kedua-kedua mereka berkongsi luahan, tidak menyangka dapat menunaikan umrah pada hari ini dan sangat menghargai pihak Andalusia kerana memberikan peluang sedemikian.

“Kami berharap semoga Allah memberkati amalan umrah kami dan terima kasih Andalusia kerana membantu kami untuk jejak kaki di Tanah Suci Makkah dan Madinah,” ujar mereka.

Md Daud menyatakan kumpulan jemaah tersebut menaiki pesawat Malaysia Airlines dan menuju terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Madinah, yang mana mereka akan berada di sana selama 5 hari 4 malam serta kemudiannya di Makkah selama 7 hari 6 malam.

Tambah beliau, mereka akan menginap di Hotel Zowar International Madinah dan Hotel Olayan Al Haram Makkah Andalusia bagi memudahkan mereka untuk ke masjid.

“Tidak lupa juga Andalusia ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Amal Malaysia Airlines kerana memberi tajaan kepada kumpulan ini iaitu makanan untuk tengahari ini sebanyak 45 bungkus termasuk sukarelawan yang bersama kumpulan ini.

“Apa pun pihak Andalusia ingin memberikan kebajikan kepada yang memerlukan berdasarkan suasana, pemilihan dan keadaan,” katanya.– HARAKAHDAILY 19/4/2024

- Advertisement -