Pemotongan subsidi bahan api bebankan rakyat

Salamiah Mohd Nor
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan yang dilakukan oleh kerajaan Madani apabila sekali lagi mengambil langkah mudah melalui potongan subsidi bahan api dikatakan telah mengecewakan rakyat di negara ini.

Ahli Parlimen Temerloh dari PERIKATAN NASIONAL (PN), Salamiah Mohd Nor berkata demikian susulan kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli Selasa (16 April) lalu mengumumkan menerusi portal The Business Times, bahawa subsidi petrol tetap akan dikurangkan tahun ini dalam usaha menurunkan defisit fiskal negara.

- Advertisement -

“Rafizi turut menjelaskan langkah itu perlu dibuat bagi menguruskan kesan berantai daripada pemotongan subsidi berkenaan dengan mengambil kira kemungkinan berlaku peningkatan inflasi sebelum pelaksanaannya.

“Kerajaan akan melaksanakan pengurangan subsidi secara berperingkat dengan risiko inflasi meningkat sebelum rancangan itu dilaksanakan, susulan jangkaan rasionalisasi bahan api tersebut. Kerajaan berada pada landasan yang tepat untuk memberi bantuan bersasar kepada golongan memerlukan,” katanya.

Salamiah turut berkata, ketika dalam sidang parlimen baru-baru ini, kebanyakan ahli parlimen tidak menyokong tindakan pihak kerajaan untuk meneruskan pemotongan pemberian subsidi bahan api.

“Pihak kerajaan tidak sepatutnya meneruskan potongan subsidi bahan api. Tindakan yang dilakukan ini akan membebankan rakyat untuk menyelamatkan negara mengatasi masalah defisit fıskal negara.

“Pemotongan subsidi bahan api bermakna rakyat terpaksa menanggung kos bahan api dengan harga yang lebih tinggi,”jelasnya kepada HarakahDaily.

Katanya lagi, kenaikan harga bahan api akan menjadi ‘ibu’ kepada masalah kenaikan harga barang dan inflasi. Inflasi berpunca daripada kenaikan kos barang ini akan dialihkan kepada pengguna.

“Nampaknya, kerajaan Madani terlupa bahawa tindakan tersebut tidak langsung mengambil kira kepentingan kebajikan rakyat yang sangat terbeban dengan kos hidup yang sangat tinggi.

“Di manakah segala teori dan formula ekonomi yang dapat membantu rakyat? Adakah tindakan pemotongan subsidi bahan api satu teori yang menjadi jalan penyelesaian masalah kos hidup rakyat yang tinggi?” tegas beliau.

Dalam pada itu, Salamiah turut berkata, kepercayaan rakyat kepada kerajaan Madani kini hancur lebur. Kerajaan seperti telah hilang punca dalam mengawal sumber kewangan negara yang banyak. Dalam keadaan kewangan yang meruncing, masih lagi mahu mengadakan jamuan raya di tujuh buah Negeri.

“Mengapakah kerajaan Madani tidak mahu menyelesaikan masalah ekonomi mengikut sistem ekonomi Islam yang pasti adil dan berkebajikan?” Soalnya.

Katanya lagi, pemerintah sekarang lebih mirip kepada tauke dan korporat yang lebih mengutamakan keuntungan, bukannya kebajikan dan penyelesaian masalah rakyat.

“Sepatutnya kerajaan yang mentadbir negara pada masa ini mencari langkah-langkah lain yang tidak membebankan rakyat.

“Selaku negara pengeluar minyak dan keuntungan Petronas yang berbilion ringgit, sepatutnya subsidi ditambah lagi agar harga minyak dapat diturunkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/4/2024

- Advertisement -