Isu pindah kubur: MB Selangor diminta beri tempoh 30 hari

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Besar (MB) Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari diminta memberikan tempoh sekurang-kurangnya 30 hari berbanding seminggu, berkenaan pemindahan 90 tapak perkuburan di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang yang terlibat dengan pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Ahli Parlimen Kapar, Dr. Halimah Ali walau bagaimanapun berterima kasih kepada MB Selangor kerana bersetuju menangguhkan kerja-kerja pengalihan tersebut yang sepatutnya bermula semalam (1 Mei).

- Advertisement -

 Beliau berkata, perkara ini memerlukan penyelesaian yang harmoni buat waris terjejas atas isu kerja-kerja pengalihan ini.

“Walau bagaimanapun selaku Ahli Parlimen Kapar, di mana terletaknya tanah perkuburan ini saya merasakan tempoh seminggu yang diberikan oleh Menteri Besar itu tidak realistik dan terlalu tergesa-gesa. 

“Oleh kerana isu ini melibatkan perpindahan tapak kubur umat Islam, yang sangat sensitif ianya perlu diuruskan dengan penuh hemah dan teliti.

“Biar semua pihak khasnya rakyat yang terjejas berpuas-hati dan menerimanya dengan baik. Untuk ini tempoh masa sekurang-kurangnya 30 hari bagi saya lebih berpatutan,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Menurutnya, beliau bersama beberapa wakil waris terlibat dalam isu ini telah melawat tapak yang dimaksudkan untuk mententeramkan suasana dan berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik. 

“Kami telah mendapat kerjasama dari para pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan pihak Polis yang turut berada di sana ketika itu.

“Saya ingin mengucapkan penghargaan kepada para penjawat awam yang sanggup menjalankan tugas walaupun hari ini (1 Mei) adalah Hari Pekerja yang merupakan cuti am.

“Penghargaan juga saya rakamkan buat pihak Polis yang hadir memelihara ketenteraman awam, khasnya kepada TImbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan yang turut hadir.

“Sekali lagi selaku wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat di Parlimen Kapar saya menggesa agar Kerajaan Negeri Selangor membuka pintu rundingan dan penerangan yang lebih telus serta harmoni dengan melibatkan semua pihak yang berkepentingan termasuk pihak saya selaku Ahli Parlimen yang telah menerima aduan secara terus dari rakyat.

“Saya menggesa agar pihak Kerajaan Negeri membuka semua pilihan yang rasional buat waris yang terlibat termasuklah menimbangkan sejumlah pampasan yang munasabah sekiranya tindakan perpindahan tidak dapat dielakkan demi meringankan gangguan emosi dan tekanan yang dihadapi oleh waris yang terpaksa memberi kerjasama.

“Saya juga mengharapkan kiranya proses pemindahan terpaksa dilaksanakan, agar wakil waris dibenarkan hadir untuk menyaksikan proses ini demi memuaskan hati pihak yang terjejas,” kata beliau.

Tambahnya, beliau mengharapkan cadangan dikemukakan ini mengambil kira kepentingan waris yang terdiri dari penduduk negeri Selangor segera mendapat perhatian Menteri Besar dan Kerajaan Negeri.

“Maka, satu keputusan yang baik dan dapat dicapai dan diterima semua tanpa mencetuskan suasana tegang serta ketidakpuasan hati rakyat negeri ini.

“Saya akan mengutus surat ke Menteri Besar Selangor selain Dato Orang Kaya Maha Bijaya Klang serta Setiausaha Sulit Sultan Selangor, menyertakan kenyataan media saya ini supaya suara rakyat di kawasan saya segera didengar dan mendapat perhatian sewajarnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/5/2024