Bentangkan mekanisme pelaksanaan subsidi petrol bersasar RON95

Khairil Nizam Khirudin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan diminta untuk membentangkan mekanisme pelaksanaan pemberian subsidi petrol bersasar RON95 sebelum ia mula dikuatkuasakan pada suku kedua 2024.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan PAS, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin yang juga Ahli Parlimen Jerantut berkata, mekanisme tersebut sewajarnya dibentangkan dalam Jawatankuasa Khas Parlimen.

- Advertisement -

Menurut beliau, secara umumnya tindakan kerajaan memperkenalkan subsidi petrol bersasar itu adalah antara penyelesaian yang baik memandangkan defisit fiskal negara kian besar.

Malah, beliau melihat pengumuman Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli untuk pelaksanaan subsidi petrol bersasar itu berikutan perbelanjaan negara semakin bertambah, namun pendapatan berkurangan disebabkan pelabur lari.

“Jadi perkara itu yang menyebabkan kita kena fokus juga kepada subsidi bersasar ini dengan syarat kita (rakyat) tahu apakah mekanismenya. Kita (pembangkang) bersetuju dengan subsidi bersasar ni.

“Itu memang kita berucap dalam Parlimen memang kita setuju subsidi bersasar. Maknanya yang kita nak kita minta daripada ialah apakah mekanismenya? Mungkin itu sebab dibuat PADU (Pangkalan Data Utama) itu tapi kita tak tahu lagi apa mekanismenya,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily, hari ini.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan Rafizi berkata, kerajaan akan mengurangkan subsidi petrol tahun ini menerusi rasionalisasi bahan api dalam usaha untuk mengecilkan defisit fiskal negara.

Rafizi dilaporkan berkata, kerajaan akan melaksanakan pengurangan subsidi secara berperingkat bagi mengelak risiko inflasi meningkat sebelum rancangan itu dilaksanakan yang dirancang bermula suku kedua tahun ini. – HARAKAHDAILY 19/4/2024

- Advertisement -