MAIPs peruntuk RM15 juta bantuan biasiswa pengajian tinggi

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyempurnakan simbolik penyerahan peruntukan kepada wakil pelajar KUIPs dan usahawan ATAM.
- Advertisement -

KANGAR: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan melancarkan peruntukan tahun 2024 bagi tujuan Bantuan Biasiswa Pengajian Tinggi Majlis Agama Islam Negeri Perlis (MAIPs) sebanyak RM15 juta.

- Advertisement -

Baginda turut melancarkan Peruntukan Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) sebanyak RM6.5 juta.

Sumbangan berkenaan merupakan komitmen MAIPs dalam usaha untuk memenuhi matlamat pembangunan lestari melalui penyediaan peluang pendidikan serta kemahiran kepada pelajar di negeri ini.

Tuanku merangkap Yang Dipertua MAIPs berkenan menyempurnakan simbolik penyerahan berkenaan yang disampaikan kepada wakil daripada kumpulan pelajar Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) serta usahawan bimbingan akademi ATAM di Majlis Raikan Syawal 2024 yang berlangsung di pekarangan Pejabat MAIPs II, Pengkalan Asam, di sini, hari ini.

Turut mengiringi baginda, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Sambutan itu merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh MAIPs yang bertujuan bagi mempromosikan pelbagai inisiatif baharu agensi tersebut selain mengukuhkan ukhuwah bersama rakan-rakan strategik.

Pada majlis berkenaan, MAIPs turut mempromosikan 10 usahawan bimbingan ATAM yang berpotensi  menjadi penyedia makanan di pelbagai majlis dan acara.

Pelbagai juadah makanan dan minuman yang telah disediakan buat para tetamu yang hadir kira-kira 700 orang.

Pada majlis berkenaan juga turut dilaksanakan apresiasi kepada Pegawai Penyelaras Zakat MAIPs, Mohd Radzi Ahmad Rahim yang bersara secara pilihan setelah memulakan kerjaya sebagai pekhidmat majlis bermula 1985 dan telah berkhidmat selama hampir 40 tahun. – HARAKAHDAILY 19/4/2024

- Advertisement -