Kenaikan kadar cukai taksiran MPAJ: Jangan tambah beban rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) digesa menangguhkan cadangan menaikkan kadar cukai taksiran sehingga dibuktikan kewajarannya, dan  setelah keadaan ekonomi mengizinkan sebelum ia dilaksanakan.

Ketua Penyelaras Pusat Khidmat Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH), Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, sekiranya MPAJ memerlukan dana tambahan sebanyak RM14 juta hasil daripada kenaikan ini, sudah tentu Kerajaan Negeri Selangor boleh membantu.

- Advertisement -

“Kerajaan Persekutuan juga wajar membantu memandangkan kedua-dua kerajaan ini adalah dari blok politik yang sama. Rakyat tidak sepatutnya dibebankan,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan MPAJ akan melaksanakan kadar cukai taksiran yang baharu untuk 181,144 premis yang terdiri dari 85,646 premis di atas tanah _(landed)_ dan 95,498 premis strata.

Tambah laporan tersebut, premis strata yang tidak direnovasi akan mengalami kenaikan sehingga 25 peratus; sementara premis yang telah direnovasi akan mengalami kenaikan yang lebih tinggi.

Iskandar berkata, kenaikan kadar cukai ini telah menimbulkan keresahan dalam kalangan pemilik-pemilik premis di Ampang Jaya dan sebahagian daripada mereka mengkritik serta mempersoalkan perkhidmatan MPAJ yang tidak sepadan dengan kadar kenaikan berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, kenaikan ini berlaku ketika rakyat berhadapan dengan kenaikan harga barangan keperluan dan kenaikan tarif elektrik dan sudah tentu akan menambah beban yang ditanggung.

“Seorang penduduk pangsapuri dilaporkan berkata bahawa beliau perlu membayar cukai tambahan sebanyak RM55 setahun iaitu tambahan sebanyak 50 peratus dari kadar sedia ada sebanyak RM110 setahun.

“Sementara, seorang pemilik hartanah pula dilaporkan telah menerima notis untuk kadar baharu sebanyak RM429 setahun berbanding dengan kadar sedia ada RM198 setahun. Walau bagaimanapun, beliau telah memohon untuk mendapatkan pengurangan,” kongsi Iskandar.

Tambahnya, walaupun MPAJ memberi peluang kepada pemilik premis-premis membuat bantahan sehingga 15 Mei ini namun publisiti mengenainya adalah tidak meluas dan masih ramai yang tidak tahu akan kenaikan yang akan berkuatkuasa mulai tahun hadapan.

“Justeru, sudah tentu tidak ramai yang akan membuat bantahan dan akan terkejut bila mendapat tahu kadar baharu yang terpaksa dibayar. Walaupun terdapat notis di dalam akhbar-akhbar namun tidak ramai yang akan perasan notis tersebut.

“Sepatutnya kain rentang dinaikkan secara meluas dan risalah-risalah diedarkan di tempat-tempat tumpuan umum seperti pasar malam, pasar tani, kompleks membeli-belah, pasar raya, masjid dan surau,” cadang beliau yang juga Bendahari PAS Pusat.

Menurut Iskandar lagi, penduduk Ampang Jaya mahukan tahap perkhidmatan ini diperbaiki sebelum sebarang kenaikan cukai dan MPAJ wajar menggariskan terlebih dahulu penambahbaikan terhadap perkhidmatan yang akan diterima oleh penduduk sebelum sebarang kenaikan.

“Menurut laporan, kenaikan cukai ini akan memberi pendapatan tambahan sebanyak RM14 juta setahun kepada MPAJ. 

“Justeru, mereka perlu menggariskan perbelanjaan untuk pendapatan tambahan tersebut dengan menerangkan bagaimana ia akan memberi manfaat kepada penduduk,” jelasnya.

Beliau menyatakan, penduduk tidak pula melihat ada mana-mana wakil rakyat atau ahli majlis membuat sebarang program turun padang untuk menerangkan mengenai kenaikan kadar cukai taksiran ini.

“Sepatutnya untuk perkara yang begitu penting, siri program turun padang seperti majlis penerangan, dialog dan mesyuarat ‘town hall’ (dewan perbandaran) perlu dilaksanakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/5/2024

- Advertisement -