Fitnah kasino vs dana judi: Siapa wajar ke penjara?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari bersetuju dengan penegasan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim supaya pihak yang memfitnah kerajaan mahu membuka kasino di Forest City, Johor dikenakan hukuman penjara.

“Setuju sangat YAB Dato’ Seri. Cumanya ingin bertanya sedikit, pihak yang fitnah Perikatan Nasional (PN) terima dana judi, wajarkah juga ke penjara (sekali lagi)?” soal beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.

Anwar yang juga Presiden PKR menyebut demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2024 bertema ‘Pekerja Kesuma Bangsa’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, semalam.

“Dari mana (dakwaan ini)? Daripada penjahat-penjahat sebenarnya. Mereka ini sepatutnya ganti (masuk ke) bilik-bilik saya di (Penjara) Sungai Buloh (dahulu) itu,” katanya di sambut gelak ketawa hadirin di dewan itu.

Anwar dalam sidang media awal selepas ke jawatan Perdana Menteri, telah mengungkapkan kata-kata menyelar Perikatan Nasional (PN) dengan mendakwa sebahagian dana pilihan raya datang dari syarikat judi.

“Berkenaan judi, pastinya sebahagian digunakan mendanai pilihan raya. (Saya sedang) semak perkara itu. Walaupun anda gelar diri anda parti Melayu atau parti Islam, dana datang dari syarikat judi,” kecamnya pada 5 Disember 2022 di Putrajaya.

Ahmad Fadhli antara pimpinan PN yang segera memberi reaksi balas menafikan dan mendesak Anwar untuk membuktikan tuduhan tersebut sejak itu, tetapi Ahli Parlimen Tambun tersebut hanya sekali menjawabnya.

Anwar mempertahankan dakwaan dibuatnya itu dan menegaskan tidak akan mengeluarkan kenyataan seperti itu sekiranya tidak mempunyai asas ketika ditanya media di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini 27 Mei 2023.

Ahmad Fadhli malah sebelum itu berusaha mendapatkan jawapan terhadap status siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan mengemukakan soalan bertulis Sidang Dewan Rakyat di Parlimen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Seri Azalina Othman Said sendiri memberi jawapan bahawa SPRM tidak dapat mengesahkan dakwaan tersebut.

Bahkan, soalan sama dikemukakan oleh beberapa Ahli Parlimen lain pada dua lagi persidangan selepas itu turut diberikan jawapan bahawa tuduhan tersebut masih dalam siasatan pihak SPRM. – HARAKAHDAILY 2/5/2024

- Advertisement -
- Advertisement -