JPJ masih kaji penggunaan kamera badan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini di peringkat kajian kebolehlaksanaan berhubung penggunaan kamera badan atau BWC (Body Worn Camera) bagi anggota penguatkuasaan agensi itu.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, kajian itu termasuk siri pembuktian konsep (POC) bagi mengkaji pelbagai aspek melibatkan perundangan, pengoperasian, penilaian keupayaan alat BWC dan teknologi yang digunakan.

- Advertisement -

Selain itu, katanya implikasi kewangan serta keberkesanannya bagi meningkatkan integriti ketika melaksanakan aktiviti penguatkuasaan.

“Sehingga kini, terdapat tiga syarikat yang menawarkan POC kepada JPJ dan dilaksanakan secara berperingkat. POC ini melibatkan pejabat JPJ di seluruh ibu negeri dan cawangan terpilih termasuk di Sabah dan Sarawak.

“POC ini juga dijangka akan berakhir pada 30 September 2023 dan laporan penuh akan disediakan serta dihantar ke Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk proses selanjutnya,” katanya ketika sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Aziz Ariffin yang meminta Menteri Pengangkutan menyatakan bilakah MOT ingin mewajibkan penguatkuasa JPJ menggunakan kamera badan bagi meningkatkan nilai integriti agensi penguatkuasaan itu serta melindungi pegawai daripada menjadi mangsa fitnah ketika menjalankan tugas serta jumlah peruntukan yang diperlukan.

Hasbi berkata, MOT berpandangan bahawa penggunaan BWC bukan sahaja dapat meningkatkan integriti penguatkuasaan JPJ, malah berupaya melindungi anggota penguatkuasa daripada pelbagai tohmahan atau tuduhan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. – HARAKAHDAILY 22/6/2023

- Advertisement -