Berapa peruntukan disalur kepada ahli parlimen kerajaan

Abdul Latiff Abdul Rahman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri diminta menyatakan berapa jumlah peruntukan yang telah disalurkan kepada ahli parlimen (MP) penyokong kerajaan pada tahun 2022 dan 2023.

- Advertisement -

Abdul Latiff Abdul Rahman [PN-Kuala Krai] bertanyakan perkara itu pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau juga meminta Perdana Menteri menyatakan adakah peruntukan kawasan ahli parlimen pembangkang akan disalurkan melalui penyelaras parlimen yang dilantik.

Ahli-ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL yang disenaraikan soalan mereka pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini sebagaimana berikut:

Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz [Tanah Merah] minta Menteri Pertahanan menyatakan garis waktu Projek Kapal LCS 1 dapat dimulakan semula dan adakah kapal ini dapat diselesaikan sebagaimana perancangan awal iaitu untuk ditauliahkan bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia pada tahun 2026.

Dr. Radzi Jidin [Putrajaya] minta Menteri Ekonomi menyatakan pelan jangka panjang Kerajaan dalam mendepani cabaran Malaysia menuju ke arah negara menua menjelang 2030.

Dato’  Hajah  Siti  Zailah  binti  Mohd  Yusoff  [Rantau  Panjang] minta Menteri  Perdagangan  Dalam  Negeri  Dan  Kos  Sara Hidup menyatakan usaha Kementerian bagi menangani kenaikan harga barang yang semakin melampau.

Dato’ Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail [Kubang Pasu] minta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan:-

(a) apakah langkah Kementerian dalam usaha untuk melaksana dan memperkasa program penyelidikan kolaboratif (collaborative research) khususnya dalam ‘frontier and emerging technologies’; dan

(b) ‘Road map’ bagi mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebagai negara pencipta teknologi.

Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati binti Samsudin [Masjid Tanah] minta Menteri Pertahanan menyatakan berkenaan aduan permasalahan berkaitan air dan masalah rangkaian internet di 96 Depoh Pusat Peluru, Masjid Tanah. Apakah tindakan yang telah diambil serta perancangan pihak Kementerian mengatasi masalah yang semakin meruncing bersama Kementerian terbabit.

Tuan Mohd Syahir bin Che Sulaiman [ Bachok ] minta Perdana Menteri menyatakan langkah-langkah yang diambil bagi menambah baik pengkalan e-Kasih bagi memastikan mereka yang benar-benar miskin dan miskin tegar dibantu.

Dato’ Haji Mohd Suhaimi bin Abdullah [Langkawi] minta Menteri Komunikasi Dan Digital menyatakan apakah polisi kawalan pemilikan nombor telefon bimbit bagi individu dan syarikat di Malaysia untuk membanteras ‘scammer’.

Dr. Abd Ghani bin Ahmad [Jerlun] minta Perdana Menteri menyatakan apakah usaha terkini Kerajaan untuk memartabatkan agenda ekonomi orang Islam melalui peranan institusi Tabung Haji, anak-anak syarikat Tabung Haji dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM).

Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman [Sik] minta Menteri Pertahanan menyatakan perancangan Kerajaan dalam menyelaraskan isu pencen dalam kalangan veteran ATM yang dilihat tidak dikemaskini seiring dengan situasi ekonomi yang semakin menekan kebelakangan ini.

Tuan Muhammad Ismi bin Mat Taib [Parit] minta Menteri Pertahanan menyatakan perancangan oleh Kementerian bagi memastikan jumlah anggota pertahanan sentiasa mencukupi bagi melindungi kedaulatan negara sama ada di darat, lautan dan udara.

Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Haji Mohd. Yassin [Pagoh] minta Menteri Ekonomi menyatakan:-

(a) strategi, garis masa serta pelan jangka pendek sederhana dan panjang Kerajaan untuk memastikan sasaran sifar miskin tegar dicapai menjelang hujung tahun ini; dan

(b) apakah perancangan khusus Kerajaan terhadap 130,000 ketua isi rumah miskin tegar yang sedia ada di Malaysia.

Datuk  Haji  Ahmad  Marzuk  bin  Shaary  [Pengkalan  Chepa]  minta Menteri  Perdagangan  DALAM  NEGERI  DAN  KOS  SARA HIDUP menyatakan program/aktiviti yang dilaksanakan di bawah Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) dan berapa jumlah pemantauan yang telah dilaksanakan untuk mengawal harga barang asas serta sejauh mana kadar keberkesanan dari program dan pemantauan yang telah dilaksanakan oleh NACCOL.

Datuk Wan Saifulruddin bin Wan Jan [ Tasek Gelugor ] minta Perdana Menteri menyatakan langkah yang telah diambil oleh Kerajaan untuk membendung kebocoran maklumat daripada SPRM kepada media melalui “sumber” yang tidak dinamakan agar kita dapat bersama-sama menafikan pandangan bahawa kebocoran melalui sumber ini adalah pembocoran terancang dan terpilih untuk matlamat tertentu.

Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan [ Kota Bharu ] minta Perdana Menteri menyatakan:-

(a) apakah dasar Kerajaan semasa berkenaan pengisytiharan harta; dan

(b) bilakah anggota Jemaah Menteri akan diarahkan untuk membuat pengisytiharan tersebut selaras dengan prinsip tatakelola dan integriti Kerajaan Madani.

Tan Sri Haji Abdul Hadi bin Awang [ Marang ] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup menyatakan apakah langkah yang telah dan sedang diambil bagi menangani kos sara hidup rakyat.

Tuan Abdul Latiff bin Abdul Rahman [ Kuala Krai ] minta Perdana Menteri menyatakan:-

(a) berapa jumlah peruntukan yang telah disalurkan kepada Ahli Parlimen penyokong Kerajaan pada tahun 2022 dan 2023; dan; dan

(b) adakah peruntukan kawasan Ahli Parlimen pembangkang akan disalurkan melalui penyelaras Parlimen yang dilantik.

Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz [ Tanah Merah ] minta Menteri Pertahanan menyatakan adakah Kementerian akan menyelaraskan semula penempatan Penasihat Ketenteraan/ Defense Attache (DA) di negara-negara yang kurang aktif melakukan aktiviti kerjasama pertahanan dengan Malaysia sebagai langkah penjimatan wang awam dan pengurusan kejat tenaga manusia dari kalangan pegawai kanan ATM.

Tuan Abdul Latiff bin Abdul Rahman [ Kuala Krai ] minta Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri menyatakan:-

(a) apakah faktor yang menyebabkan kelewatan untuk mendapatkan kereta yang ditempah sehingga mengambil masa selama enam bulan hingga setahun; dan; dan

(b) adakah Kerajaan bercadang melanjutkan tempoh insentif pengecualian cukai yang telah tamat pada 31 Mac 2023 yang lalu.

Puan Hajah Salamiah binti Mohd Nor [ Temerloh ] minta Perdana Menteri menyatakan sebab-sebab ahli Parlimen pembangkang tidak dilibatkan dalam mesyuarat-mesyuarat Majlis Tindakan Keselamatan Daerah, Majlis Tindakan Bencana Daerah dan Pelan Pembangunan dan Perancangan Daerah.

Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati binti Samsudin [ Masjid Tanah ] minta Perdana Menteri menyatakan berapakah jumlah kakitangan Jabatan Komunikasi Masyarakat (JKOM) setakat April 2023 serta berapakah jumlah kakitangan yang akan ditamatkan perkhidmatan pada tahun ini.

Tan Sri Haji Abdul Hadi bin Awang [ Marang ] minta Menteri Ekonomi menyatakan apakah usaha Kerajaan untuk membangunkan ekonomi Melayu dan Bumiputera bagi mengurangkan jurang daripada segi ekonomi dengan kaum lain.

Tuan  Haji  Mohd  Misbahul  Munir  bin  Masduki  [  Parit  Buntar  ] minta Menteri  Perdagangan  Dalam  Negeri  Dan  Kos  Sara Hidup menyatakan bentuk bantuan dan inisiatif jangka panjang bagi meringankan bebanan peniaga yang terlibat dalam pelaksanaan Menu Rahmah, terutama bagi mengelak kerugian operasi dengan mengambil kira margin keuntungan yang lebih rendah akibat kenaikan harga bahan mentah.

Dato’ Rosol bin Wahid [ Hulu Terengganu ] minta Perdana Menteri menyatakan jumlah kos dibelanjakan Kerajaan untuk mengadakan rumah terbuka Aidilfitri yang dihadiri Perdana Menteri di enam buah negeri sepanjang bulan Syawal 1444H/2023.

Datuk Wan Saifulruddin bin Wan Jan [ Tasek Gelugor ] minta Perdana Menteri menyatakan:-

(a) kenapa Kerajaan menghentikan penajaan JPA dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi ; dan

(b) apakah kesan tindakan ini kepada penyediaan doktor perubatan, doktor pergigian dan ahli farmasi di masa hadapan, terutama dari kalangan Bumiputera dan apakah sumber penajaan lain yang boleh dimohon oleh pelajar bidang-bidang ini, baik untuk pelajar Bumiputera dan juga bukan Bumiputera.

Datuk  Haji  Ahmad  Marzuk  bin  Shaary  [  Pengkalan  Chepa  ]  minta Menteri  Pembangunan  Usahawan  Dan  Koperasi menyatakan peruntukan yang telah diluluskan bagi menggalakkan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta jumlah penerima manfaat bagi program IKS dan sejauh manakah usaha ini mampu memberi kesan terhadap ekonomi negara.

Dato’ Seri Hamzah bin Zainudin [ Larut ] minta Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri menyatakan berapa jumlah pelaburan langsung asing (FDI) bagi suku pertama 2023 dan segmen ekonomi manakah yang paling banyak melabur serta berapa pula penjualan ekuiti oleh pelabur asing bagi tempoh yang sama.

Tuan Muhammad Ismi bin Mat Taib [ Parit ] minta Perdana Menteri menyatakan sama ada Kerajaan akan menyemak semula struktur dan memperkukuh operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk meningkatkan kapasiti mengurus dan mengurangkan risiko bencana dan memberikan amaran awal kepada rakyat.

Datuk Wan Saifulruddin bin Wan Jan [ Tasek Gelugor ] minta Menteri Komunikasi Dan Digital menyatakan apakah implikasi peralihan ke model duopoli dwirangkaian terhadap :-

(a) kontrak-kontrak jangka panjang antara DNB dan juga pembekal; dan

(b) status kewangan dan pinjaman bank DNB dan persepsi pelabur terhadap Kementerian yang mengubah dasar berkaitan DNB.

Dato’ Haji Abdul Khalib bin Abdullah [ Rompin ] minta Menteri Ekonomi menyatakan jumlah projek-projek pembinaan pembangunan bandar-bandar sempadan menerusi Majlis Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yang melibatkan pembinaan di Pahang khususnya di Rompin. Pentingnya pembangunan ini bagi merancakkan ekonomi dan pelancongan yang suram kebelakangan ini.

Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Haji Mohd. Yassin [ Pagoh ] minta Perdana Menteri menyatakan hala tuju dan kerangka pembangunan negara Kerajaan campuran PH-BN yang akan menggantikan dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).

Dr. Ahmad Fakhruddin bin Fakhrurazi [ Kuala Kedah ] minta Perdana Menteri menyatakan usaha Kerajaan menangani kedudukan Indeks Rasuah Malaysia selaras usaha menjadikan Malaysia sebuah negara bebas rasuah.

Dr. Hajah Halimah Ali [ Kapar ] minta Menteri Ekonomi menyatakan apakah langkah Kerajaan untuk membantu rakyat menghadapi masalah kos sara hidup yang semakin menekan terutama golongan B40 dan M40 dan senaraikan inisiatif Kerajaan bagi membantu belia menyara keluarga di kawasan pinggiran bandar seperti Kapar.

Tuan Muhammad Fawwaz bin Mohamad Jan [ Permatang Pauh ] minta Perdana Menteri menyatakan adakah Kerajaan bercadang untuk memberikan kuasa pendakwaan kepada pihak lain seperti SPRM atau agensi penguatkuasa lain bagi mengelakkan berlaku pendakwaan terpilih serta mengelakkan ia dikawal oleh sesetengah pihak.

Datuk Haji Awang bin Hashim [ Pendang ] minta Perdana Menteri menyatakan berapa perincian kos sewaan, penggunaan serta penyelenggaraan pesawat khas, jet eksekutif rasmi dan helikopter yang digunakan oleh YAB Perdana Menteri semenjak mula mengangkat sumpah pada 24 November 2022 sehingga 30 April 2023.

Tuan Rushdan bin Rusmi [ Padang Besar ] minta Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi menyatakan adakah Kementerian mempunyai cadangan untuk mewujudkan dataran usahawan bagi asnaf di setiap negeri.

Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib [ Maran ] minta Perdana Menteri menyatakan perancangan terperinci Kerajaan untuk membantu golongan peneroka FELDA susulan langkah Kerajaan untuk tidak meneruskan inisiatif pelupusan bersyarat hutang FELDA supaya kebajikan warga FELDA sentiasa terjamin.

Dr. Ahmad Fakhruddin bin Fakhrurazi [ Kuala Kedah ] minta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan peranan Kerajaan bagi menangani isu peningkatan peratusan pelajar lepasan SPM yang tidak menyambung pengajian ke peringkat seterusnya disebabkan faktor kemiskinan.

Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi bin Haji Salleh [ Pasir Puteh ] minta Menteri Komunikasi Dan Digital menyatakan perancangan dalam membantu usahawan desa memajukan lagi perusahaan mereka melalui peruntukan dana digitalisasi dan automasi dalam Belanjawan 2023 dan adakah  Kerajaan  bersedia  mempertimbang  cadangan  rebat  bil  internet sebanyak 50% kepada usahawan desa dalam menggalakkan syarikat telekomunikasi melebarkan capaian ke kawasan liputan internet yang rendah.

Dato’ Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail [ Kubang Pasu ] minta Menteri  Pelaburan,  Perdagangan  Dan  Industri menyatakan nama syarikat, jenis industri dan jumlah pelaburan yang akan direalisasi oleh negara hasil lawatan YAB Perdana Menteri ke China pada awal April yang lalu di mana sejumlah 19 memorandum telah di materai.

Tuan Jamaludin bin Yahya [ Pasir Salak ] minta Menteri Komunikasi Dan Digital menyatakan apakah status terkini pertanian pintar mengikut negeri termasuk eLadang dalam kalangan pengusaha sektor pertanian, serta sejuah manakah keterlibatan golongan muda dalam bidang eLadang.

Tuan Haji Mohd Hasnizan bin Harun [ Hulu Selangor ] minta Perdana Menteri menyatakan usaha Kementerian dalam menyatukan semua urusan ladang diuruskan oleh FELDA Technoplant, tidak lagi di bawah persendirian.

Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan [ Kota Bharu ] minta Perdana Menteri menyatakan apakah mekanisme yang diambil oleh Kerajaan dalam memastikan Lembaga Pengampunan dapat berfungsi dengan adil dan bebas daripada campur tangan mana-mana pihak.

Kapten Dato’ Dr. Zulkafperi bin Hanapi (Bersara) [ Tanjong Karang ] minta Menteri Ekonomi menyatakan perancangan sasaran kadar penurunan jumlah sedia ada B40 dalam tempoh 5 tahun akan datang. Berapa sasaran Kerajaan agar jumlah B40 dan M40 ini akan meningkat ke T20 dalam tempoh 5 tahun akan datang agar ia dapat mengurangkan subsidi bersasar kepada kumpulan berkenaan yang akan menjimatkan perbelanjaan Kerajaan dan secara tidak langsung mencapai ke arah negara berpendapatan tinggi.

Dato’ Rosol bin Wahid [ Hulu Terengganu ] minta Menteri Komunikasi Dan Digital menyatakan sejauh mana kawalan dikenakan Kementerian terhadap stesen televisyen dan radio tempatan dalam menyiarkan laporan serta liputan yang seimbang tanpa sekatan yang menafikan kebebasan media.

Tuan Rushdan bin Rusmi [ Padang Besar ] minta  Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup menyatakan adakah Kementerian mempunyai mekanisme dalam pemantauan keberjayaan Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin.

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kasim [ Arau ] minta Perdana Menteri menyatakan penjelasan dan status berkenaan permohonan semakan dan permintaan tafsiran ke atas keputusan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan serta apakah penyelesaian yang berjaya dicapai oleh Kerajaan terhadap isu Beting Patinggi Ali.

Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal [ Machang ] minta Perdana Menteri menyatakan perincian serta jumlah perbelanjaan untuk papan iklan serta promosi Malaysia Madani.

Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi bin Haji Salleh [ Pasir Puteh ] minta Menteri  Perdagangan  Dalam  Negeri  Dan  Kos  Sara Hidup menyatakan konsep sebenar jualan rahmah, menu rahmah dan seumpamanya sepertimana diperkenalkan dan sejauh manakah keberkesanannya dalam menyokong usaha mengurangkan beban hidup rakyat seterusnya mampu membasmi kemiskinan tegar dan pertengahan.

Datuk Muslimin bin Yahaya [ Sungai Besar ] minta Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi menyatakan kejayaan 6 federasi yang ditubuhkan di bawah seliaan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) terutamanya federasi berkaitan pemborongan dan peruncitan dan federasi berkaitan pertanian dan industri asas tani bagi membantu Kementerian menawarkan harga yang murah kepada rakyat bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup yang tinggi.

Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh [ Besut ] minta Perdana Menteri menyatakan apakah komitmen Kerajaan dalam menghormati aspek pengasingan kuasa antara eksekutif, kehakiman dan legislatif selain memastikan ketelusan siasatan termasuk pihak SPRM, sekali gus menjamin kebebasan badan kehakiman negara.

Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin [ Tangga Batu ] minta Perdana Menteri menyatakan apakah hukuman yang akan dikenakan kepada scammer diperuntukkan memadai untuk mengekang kegiatan scammer.

Tuan Mohd Syahir bin Che Sulaiman [ Bachok ] minta Perdana Menteri menyatakan status terkini kajian sistem saraan baharu bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang telah digunapakai sejak 20 tahun lalu dan wajar diperbaharui bagi memastikan ianya relevan dalam persekitaran ekonomi semasa seperti yang dicadangkan oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Tuan Mohd Nazri bin Abu Hassan [ Merbok ] minta Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri menyatakan apakah pelan Kementerian untuk pembangunan rangkaian stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di sebelah utara khususnya di Kedah untuk mewujudkan ekosistem menyeluruh kerana industri EV berpotensi merealisasikan sasaran Malaysia mencapai status negara neutral karbon menjelang tahun 2050.

Datuk Muslimin bin Yahaya [ Sungai Besar ] minta Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi menyatakan apakah strategi Kementerian ( KUSKOP ) dalam bersama Kerajaan menangani kenaikan harga barangan melalui program pembekalan barangan keperluan asas dengan harga yang lebih rendah dari pasaran yang akan dilaksanakan oleh gerakan koperasi.

Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi [ Kuala Langat ] minta Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi menyatakan:-

(a) apakah status koperasi-koperasi di Malaysia; dan

(b) apakah perancangan Kementerian untuk mengupayakan koperasi-koperasi yang tidak aktif dan bagaimanakah koperasi-koperasi yang aktif dapat membantu Kementerian untuk menangani kos sara hidup rakyat negara pada masa ini.

Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad [ Bagan Serai ] minta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan langkah jangka masa pendek, sederhana dan panjang pihak Kementerian dalam memastikan pengurangan isu ketidakpadanan penawaran dan permintaan dari sudut bidang yang ditawarkan antara universiti dan keperluan semasa industri, seterusnya mengurangkan kadar pengangguran di negara ini.

Dato’ Syed Abu Hussin bin Hafiz Syed Abdul Fasal [ Bukit Gantang ] minta  Menteri  Perdagangan  Dalam  Negeri  Dan  Kos  Sara Hidup menyatakan selain berkolaborasi dengan pasaraya dan hypermarket, apakah kaedah yang digunakan dalam mengadakan jualan Rahmah di kawasan-kawasan luar bandar seperti di Bukit Gantang yang tidak mempunyai pasaraya.

Tuan Afnan Hamimi bin Taib Azamudden [ Alor Setar ] minta Perdana Menteri menyatakan berapakah kos keseluruhan perbelanjaan program Rumah Terbuka Malaysia Madani dan nyatakan perincian kos untuk setiap penganjurannya di enam buah negeri yang terlibat.

Dato’ Hajah Mumtaz binti Md Nawi [ Tumpat ] minta Perdana Menteri menyatakan adakah pihak Kementerian akan memperkenalkan sistem kawalan keselamatan berganda terhadap institusi kewangan dan perbankan bagi mencegah jenayah ‘scammer’ dan transaksi digital terutama dalam kalangan warga emas dan berapakah bilangan kes yang dilaporkan di Kelantan.

Tuan Afnan Hamimi bin Taib Azamudden [ Alor Setar ] minta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan apakah Kerajaan bercadang untuk memberi potongan yuran kepada mahasiswa yang menjalani latihan praktikal memandangkan mereka tidak sepenuhnya menggunakan fasiliti kampus ketika latihan praktikal.

Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz [ Tanah Merah ] minta Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi menyatakan apakah langkah dilakukan oleh kerajaan dalam usaha memastikan lebih ramai golongan beliau terlibat dalam bidang keusahawanan.

Kapten Dato’ Dr. Zulkafperi bin Hanapi (Bersara) [ Tanjong Karang ] minta  Menteri  Perdagangan  Dalam  Negeri  Dan  Kos  Sara Hidup menyatakan data pelan serta tindakan Kementerian bagi menangani kos barang mentah semasa, sejauh manakah pihak Kementerian telah berjaya menurunkan harga barang mentah dan berapa peratusan kadar penurunan kos bahan mentah tersebut yang telah meringankan beban rakyat.

Datuk Muslimin bin Yahaya [ Sungai Besar ] minta Menteri Komunikasi Dan Digital menyatakan rasional pegangan 30% kepada warga asing yang menjalani penggambaran di Malaysia ketika Kerajaan juga memberikan rebat 30% di bawah skim penggambaran di Malaysia atau Filming in Malaysia (FIMI).

Tan Sri Haji Abdul Hadi bin Awang [ Marang ] minta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan apakah usaha Kerajaan dalam memberikan kesedaran pendidikan politik dalam kalangan anak muda dan mahasiswa.

Dato’ Ahmad bin Saad @ Yahaya [ Pokok Sena ] minta Perdana Menteri  menyatakan       pelan jangka masa Kementerian bagi membentangkan Kertas Putih Isu Kedaulatan Batu Puteh di Parlimen.

Waktu Pertanyaan Menteri

Tuan Abdul Latiff bin Abdul Rahman [ Kuala Krai ] minta Perdana Menteri menyatakan apakah kriteria yang digunakan untuk mengklasifikasikan golongan B40, M40 dan T20 dalam menentukan mereka yang menerima tawaran untuk mengerjakan haji tahun 1444M dan berapa jumlah jemaah haji yang menerima tawaran tersebut pada tahun ini. – HARAKAHDAILY 8/6/2023

- Advertisement -