Isu berkaitan TH bergema di Dewan Rakyat

Dewan Rakyat.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perkara berkaitan haji dan agensi berkaitan Rukun Islam kelima, iaitu Tabung Haji (TH) sentiasa mendapat tempat dalam sanubari umat Islam negara ini.

- Advertisement -

Antara perkara yang ramai ingin tahu setiap tahun ialah kadar bayaran mengerjakan haji, sama ada terus kekal atau berubah.

Untuk mengerjakan haji, umat Islam perlu membayar sebahagian daripada kos, manakala selebihnya ditanggung oleh TH melalui dana Bantuan Kewangan Haji yang dijana daripada hasil pendapatan pelaburan.

Bagaimanapun, perkembangan terkini menyaksikan bakal haji dikategorikan mengikut kelas pendapatan, iaitu B40, M40 dan T20 dengan kadar bayaran mengerjakan haji yang dikenakan juga berbeza.

Pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di sidang Dewan Rakyat hari ini, Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) bertanyakan perkara ini pada soalan nombor dua.

Beliau meminta Perdana Menteri menyatakan kriteria yang digunakan untuk mengklasifikasikan golongan B40, M40 dan T20 dalam menentukan mereka yang menerima tawaran untuk mengerjakan haji tahun ini dan jumlah jemaah haji yang menerima tawaran tersebut pada tahun ini.

Sebanyak tiga soalan diperuntukkan ketika sesi MQT dan hanya satu soalan akan ditanya oleh Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL (PN).

Sementara itu bagi sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan, satu soalan berkaitan TH juga ditanya oleh Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun).

Dalam soalan nombor 18, beliau meminta Perdana Menteri menyatakan usaha terkini kerajaan untuk memartabatkan agenda ekonomi orang Islam melalui peranan institusi TH, anak-anak syarikat TH dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM).

Sementara itu, isu pertahanan yang meraih tumpuan negara, projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) mendapat perhatian Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah).

Mengikut soalan nombor dua itu, beliau meminta Menteri Pertahanan menyatakan garis waktu projek LCS 1 dapat dimulakan semula dan adakah kapal ini dapat diselesaikan sebagaimana perancangan awal, iaitu untuk ditauliahkan bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 2026.

Satu lagi soalan berkaitan pertahanan tetapi mungkin tidak sempat ditanya kerana berada di kedudukan nombor 20 ialah soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) yang meminta Menteri Pertahanan menyatakan perancangan kerajaan dalam menyelaraskan isu pencen dalam kalangan veteran ATM yang dilihat tidak dikemas kini seiring dengan situasi ekonomi yang semakin menekan kebelakangan ini.

Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) juga bertanyakan soalan berkaitan pertahanan, iaitu soalan nombor 10.

Beliau bertanyakan Menteri Pertahanan mengenai masalah berkaitan air dan masalah rangkaian internet di 96 Depoh Pusat Peluru, Masjid Tanah dan tindakan yang telah diambil serta perancangan kementerian mengatasi masalah yang semakin meruncing bersama kementerian terbabit.

Soalan lain ditanya Ahli Parlimen PN yang berada dalam ranking 20 soalan teratas sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan ialah seperti berikut:

Soalan 4
Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) minta Menteri Ekonomi menyatakan pelan jangka panjang kerajaan dalam mendepani cabaran Malaysia menuju ke arah negara menua menjelang 2030.

Soalan 6
Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan usaha kementerian bagi menangani kenaikan harga barang yang semakin melampau.

Soalan 8
Dato’ Wira Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) minta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan:-
(a) apakah langkah kementerian dalam usaha untuk melaksana dan memperkasa program penyelidikan kolaboratif, khususnya dalam ‘frontier and emerging technologies’; dan
(b) ‘Road map’ bagi mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebagai negara pencipta teknologi.

Soalan 12
Dato’ Indera Dr Suhaili Abdul Rahman (PN-Labuan) minta Menteri Ekonomi menyatakan apakah perancangan kerajaan dalam menjamin kedudukan strategik wilayah Sabah dan Sarawak sebagai kawasan pertumbuhan baharu susulan pemindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan Timur.

Soalan 14
Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) minta Perdana Menteri menyatakan langkah-langkah yang diambil bagi menambah baik pengkalan e-Kasih bagi memastikan mereka yang benar-benar miskin dan miskin tegar dibantu.

Soalan 16
Dato’ Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) minta Menteri Komunikasi dan Digital menyatakan apakah polisi kawalan pemilikan nombor telefon bimbit bagi individu dan syarikat di Malaysia untuk membanteras ‘scammer’. – HARAKAHDAILY 8/6/2023

- Advertisement -