Pemimpin seperti pengembala unta, ayah yang penyayang

Foto hiasan.
- Advertisement -

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 76)

- Advertisement -

Antara isi kandungan surat nasihat Al-Hasan al-Basri kepada Umar bin Abdul Aziz ialah:

والإمام العدل يا أمير المؤمنين كالراعي الشفيق على إبله، الرفيق بها، الذي يرتاد لها أطيب المراعي، ويذودها عن مراتع الهلكة، ويحميها من السباع، ويكنها من أذى الحر والقرّ. والإمام العدل يا أمير المؤمنين كالأب الحاني على ولده، يسعى لهم صغاراً، ويعلمهم كبارًا، يكتسب لهم في حياته، ويدخر لهم بعد مماته.

Maksudnya: Pemimpin yang adil itu wahai Amir al-Mukminin seperti pengembala yang kasihkan untanya, berlembut dengannya, mencari tempat ragut yang paling baik, menjauhkannya dari tempat yang boleh membinasakannya, mengawalnya dari binatang buas, menjaganya dari cuaca panas dan terlampau sejuk. Pemimpin yang adil itu wahai Amir al-Mukminin ialah seperti bapa yang penyayang terhadap anaknya, bekerja untuk mereka ketika mereka kecil, mengajar mereka ketika dewasa, berusaha untuk mereka ketika hidupnya, menyimpan untuk mereka selepas matinya.

Orang Arab dan unta tidak dapat dipisahkan. Mereka membela unta seperti menjaga anak.

Justeru, perumpamaan Al-Hasan al-Basri mengenai pemimpin dan kewajipannya seperti pengembala unta yang menjaga untanya mudah difahami.

Walaupun ia mudah difahami, hakikatnya ialah tanggungjawabnya sangat besar, berat dan penuh risiko.

Adakah pemimpin itu mengasihi rakyatnya? Atau hanya berlakon mengasihi rakyat untuk meraih undi bagi berkuasa atau mengekalkan kuasa? Kasih ialah sifat hati. Hati yang ada iman mengasihi orang lain seperti mengasihi diri sendiri.

Nabi SAW sentiasa mengingati umatnya. Adakah pemimpin kini ingat kepada rakyat sepanjang masa atau hanya di musim pilihan raya?

Seorang pemimpin mesti berlembut dengan rakyatnya. Jangan berkasar walaupun kekadang rakyat itu berkasar. Arab Badwi pernah berkasar dengan Nabi SAW. Ditarik kain Nabi SAW hingga berbekas merah di badan Nabi SAW. Umar meminta untuk membalas.

Namun, Nabi SAW tetap bertembut dengannya. Pegawai-pegawai kerajaan dan semua sektor wajar bersikap lembut kepada pelanggan, rakyat yang berurusan dan semua orang.

Al-Hasan al-Basri menyebut, “mencari tempat ragut paling baik untuk untanya”.

Apabila unta dapat tempat ragut paling baik, ia kenyang, dagingnya bertambah, tuannya juga akan mendapat untung.

Seorang pemimpin yang menjaga urusan rakyat, mengurus hal berkaitan ekonomi rakyat dengan baik, cakna kebajikan rakyat, lalu rakyat menjadi elok, manfaat dan kebaikannya juga akan kembali kepada pemimpin dan negara.

Tempat yang membinasakan, binatang buas, cuaca panas adalah perkara yang memudaratkan. Dalam konteks pemimpin dan rakyat, perkara memudaratkan rakyat itu sangat banyak. Kaedah syarak menyebut: الضرر يزال “mudarat dihilangkan”.

Justeru, semua bentuk mudarat dalam semua aspek mesti dihilangkan.

Pemimpin adalah bapa kepada rakyatnya. Pemimpin yang ada sifat begini paling layak untuk diangkat. Cuma bukan sekadar bapa, kerana berapa ramai adanya bapa tetapi seperti bapa ayam atau bapa yang mengabaikan tanggungjawab.

Oleh itu, apabila Al-Hasan al-Basri mengumpamakan pemimpin itu seperti bapa yang ada sifat penyayang, berusaha untuk kepentingan anak, berfikir untuk masa depannya, maka ia adalah perumpamaan paling tepat.

Barangkali sangat sukar memenuhi isi hati nasihat Al-Hasan al-Basri ini dalam bentuk praktikal dan realiti. Perhati dan kaji. Ambillah yang termampu untuk dibuat. Kalau tidak semua, jangan diabai sebahagiannya. – HARAKAHDAILY 8/6/2023

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.

- Advertisement -