TEKAD wujudkan budaya kerja integriti, bebas dadah

Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Seramai 983 orang penjawat awam telah disabitkan menyalah guna dan menagih dadah pada tahun 2022, kata Menteri Dalam Negeri.

- Advertisement -

Katanya, seramai 1,146 penjawat awam telah disabitkan pada 2021, 2020 (724), 2019 (468) dan 2018 (961).

Beliau menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee [PN-Beluran] di Dewan Rakyat, semalam.

Ronald dalam soalannya meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan bilangan penjawat awam yang ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah sejak lima tahun lalu.

Beliau juga bertanya apakah langkah berterusan yang sedang dan akan diambil oleh Kerajaan untuk mengurangkan gejala dadah ini di kalangan penjawat awam.

Menurut menteri itu lagi, antara usaha yang dilaksanakan oleh AADK adalah menjalinkan kolaborasi dengan majikan untuk melaksanakan program pendidikan pencegahan di tempat kerja bagi sektor awam dan swasta melalui Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD).

Katanya, pada tahun 2022, sebanyak 28 program TEKAD telah dilaksanakan di jabatan-jabatan kerajaan di seluruh negara.

“Program TEKAD ini bertujuan untuk mewujudkan kawasan dan persekitaran kerja yang menyokong kepada pembudayaan kerja yang berintegriti di samping memastikan warga kerja bebas daripada masalah dadah dan sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/6/2023

- Advertisement -