Pastikan penipuan kelayakan akademik tidak berulang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu ijazah palsu yang dikaitkan dengan beberapa nama ahli politik perlu diberi perhatian segera oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), kata Dato’ Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu).

- Advertisement -

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan memberi jaminan agar isu penipuan kelayakan akademik tidak berulang pada masa depan.

“Apakah jaminan kerajaan pada hari ini bahawa isu penipuan kelayakan akademik tidak berlaku dalam kalangan pemimpin kerajaan hari ini, sebagaimana yang pernah berlaku sebelum ini?

“Apakah kerajaan bercadang menjadikan satu syarat kelayakan untuk menjadi menteri atau timbalan menteri sekurang-kurangnya mempunyai ijazah pada masa depan?” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Mohammad Yusof Apdal, ketika mengulas berkata, isu penipuan kelayakan akademik atau sijil palsu tidak semestinya berpunca daripada institusi pendidikan tinggi.

Katanya, isu itu juga boleh berlaku akibat individu yang tidak bertanggungjawab.

“Dalam soal ini, semua perkara memerlukan bukti yang nyata. Maka, kalau ada bukti laporkan kepada yang berkaitan, terutama KPT,” katanya.

Menyentuh mengenai syarat hendak menjadi menteri mesti memiliki ijazah, katanya perkara itu diserahkan kepada pihak yang lebih bertanggungjawab untuk membuat keputusan, sama ada perlu memiliki ijazah atau tidak. – HARAKAHDAILY 25/5/2023

- Advertisement -