How deep is your love

- Advertisement -

SEMUA orang kaget bila mana mendengar sendiri arahan oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Ahmad Maslan kepada semua ahli Umno, supaya memangkah DAP dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti. Ia konon sebagai bukti setia kawan antara mereka di dalam Pakatan Harapan. Semua orang juga tidak pernah menyangka yang Umno akan terpaksa melalui pimpinannya mengarahkan ahli mereka mengundi DAP. Inilah sejarah besar Umno dalam lipatan kisah politik Malaysia, termasuk membuka pintu DAP berhimpun di Dewan Merdeka PWTC baru-baru ini.

Hakikat ini tidak dapat dielakkan lagi kerana mereka sesama pimpinan telah bersetuju, sehinggakan sanggup menipu ahli sebelum PRU dengan bersumpah menggunakan nama Allah demi mendapatkan tempat dalam Kerajaan PH. Rupanya kepercayaan ahli mereka telah dirobek oleh seorang dua pimpinan Umno malah juga PH. Pimpinan Umno yang lain masih mempunyai nilai diri dan takutkan Allah, sebenarnya merasa jijik untuk berpelukan dengan DAP. Tetapi akibat daripada tindakan seorang dua yang cuba mencari keuntungan peribadi, telah menyebabkan seluruh Umno itu tercemar teruk. Mereka sekarang dicemuh masyarakat. Tidak mustahil sehingga masa depan, jika tiada tindakan diambil

Ahli Umno yang kita sedia maklum amat payah untuk menyokong orang lain, kecuali bagi parti sesama BN sahaja. Keegoan itu terjadi kerana mereka tidak pernah kalah dalam PRU di Malaysia pada peringkat pusat. Akhirnya ego mereka runtuh, jatuh menyembah bumi, mereka kalah pada PRU14 dan lebih teruk pada PRU15 yang lalu. Oleh itu, pilihan terpaksa dibuat oleh pimpinan, mencari rakan politik lain untuk survival. Sepatutnya pilihan majoriti pimpinan mereka adalah PN, akan tetapi kerana tiada jaminan yang ketua mereka mendapat manafaat atas gabungan itu, maka dua tiga orang yang berkuasa dalam Umno, menukarkannya dengan PH.

Ketika kedua PH dan BN bersatu, maka jatuhlah kehebatan mereka. Mereka terpaksa memilih untuk menjilat kahak dan ludahan mereka sendiri. BN menjilat kahak penghinaan mereka terhadap DAP yang begitu hina pada mereka. Malah pada satu saat, mereka cukup berbangga menyatakan yang hanya Umno tidak pernah bergabung dengan DAP. Manakala PH menyedut semula air liur basi menentang rasuah yang sebelum ini juga berkokok mahu membela sistem kehakiman kepada yang lebih baik, apabila berkuasa, hanyalah omongon kosong. Umno yang mereka dakwa meruntuhkan sistem keadilan, mereka rangkul sebagai teman sepejabat. Tidak sedikit Umno yang diletakkan di tampuk teratas.

BN terpaksa mencari PH kerana dalam PN, individu yang menghadapi pertuduhan di mahkamah akan direhatkan dari menjawat apa-apa jawatan dan tiada jaminan dibebaskan. Ia sudah dibuktikan semasa PN memerintah dan ditegaskan sekali lagi oleh Presiden PAS semasa perbincangan bagi bergabung. Ini adalah syarat yang memutuskan hubungan Umno dan PN. Tetapi ketegasan dalam mempertahankan prinsip, PN rela Umno lari, menolak pelawaan menyertai gabungan mereka yang penuh kedustaan itu. Maruah lebih mahal dari kuasa yang bergabung dengan mereka yang bergelumang dalam kehinaan rasuah dan salah laku.

Manakala PH pula tidak diterima oleh PN kerana adanya DAP bersama mereka yang sehingga sekarang. Hal ini tidak perlu dibuktikan PN sebab PN tidak mahu bersama, kerana ahli Umno sendiri yang menyetujui penolakan PN itu dengan mereka juga menolak DAP secara total. Ada persamaan. Oleh kerana penawaran dan permintaan tidak kena dengan pasaran, maka pimpinan Umno yang dua tiga kerat itu terpaksa mencari Pak Sanggup. Timbullah PH sanggup menerima tawaran menjadi Cina buta itu kerana terlalu kebulur mahu menjadi Perdana Menteri.

Cinta mereka boleh diibaratkan sebagai seumpama cinta seorang awek yang terlanjur, dengan seorang ‘Pak Sanggup’. Ia bukanlah cinta sebenar, tetapi hanya untuk menyelamatkan sebentar keadaan yang mengaibkan itu. Anak mereka tidak sah taraf, tetapi memaksa semua orang mengatakan itu adalah anak mereka berdua yang sah, sedangkan semua orang tahu cerita sebenar setelah mereka ditangkap berzina dan dijatuhkan hukuman. Walau sudah bergelumang dengan kejadian dosa yang memalukan itu, masih mereka tidak mahu dan tidak reti untuk bertaubat kepada Allah.

Pernah PAN bertanyakan PAS dahulu mengenai cinta PAS terhadap Umno dengan pertanyaan how deep is your love? Sekarang soalan itu berbalik kepada PAN, how deep is your love to Umno sehinggakan terpaksa memohon maaf kepada Umno. Dan untuk Umno, how deep is your love to DAP? Bagaimana untuk mereka buktikan kepada semua? Aslikah cinta mereka? Dipaksa kahwin setelah terlanjur. Apa lagi si jejaka itu seorang penipu agung. Bagaimana perasaan saudara mara kedua-dua belah pihak? Pastinya mereka tidak mahu bersama menanggung malu yang dicipta oleh pasangan itu.

Ia adalah satu beban yang tidak sepatutnya dipikul orang lain, tetapi mereka memaksanya juga. Sudahlah dibinkan dengan bukan bapa sebenar, nanti bila anak itu besar, macamana mahu dinikahkan? Siapa walinya? Bukan ahli Umno sahaja kena tipu, penyokong PH lagi berlambak kena tipu. Cuma penyokong PH ini, muka mereka sangat tebal, tiada rasa malu sedikitpun. Berbeza dengan Umno.

*Foto dari FMT

MOHD NASIR ABDULLAH
25 Mei 2023 – HARAKAHDAILY 25/5/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -