Sesi persekolahan Januari bermula 2026

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sesi persekolahan akan kembali dimulakan pada Januari bermula 2026.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memulakan usaha dengan merancang untuk mengawal kalendar akademik persekolahan sesi 2024/2025 bermula pada bulan Februari 2025.

- Advertisement -

“Kalendar persekolahan dirancang dapat bermula pada bulan Januari ialah pada tahun 2026. Jadi permintaan Yang Berhormat untuk memulakan sesi persekolahan Januari akan ditunaikan pada tahun 2026,” katanya ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai tindakan yang diambil oleh KPM bagi memastikan takwim persekolahan dipatuhi oleh semua pihak dan tahun berapa persekolahan dapat bermula awal Januari.

Sebelum ini, KPM dilaporkan memberi jaminan permulaan takwim sesi persekolahan akan kembali bermula pada Januari, namun memerlukan tempoh tertentu untuk dilaksanakan.

Fadhlina berkata, pengumuman ini membolehkan aspek kewangan dan ekonomi dapat dirancang mulai sekarang oleh semua pihak yang terlibat.

“Secara tidak langsung, perancangan cuti keluarga, kenduri kendara, cuti-cuti cikgu sebagaimana yang telah pun kami umumkan dalam 10 prakarsa sempena Hari Guru dapat diatur berdasarkan kalendar akademik persekolahan yang akan diwartakan,” katanya.

Terdahulu, katanya KPM membuat ketetapan untuk membuat perubahan kepada kalendar akademik sesi 2021/2022 akibat penularan Covid-19.

Berdasarkan perubahan itu, katanya sesi persekolahan bagi kalendar akademik sesi 2023/2024 diteruskan bermula pada bulan Mac 2023. – HARAKAHDAILY 23/5/2023

- Advertisement -