Negara, rakyat sama naik: ‘Biar papa asal bergaya’

Apakah impaknya apabila negara dan rakyat sama-sama menjadikan ideologi 'biar papa asal bergaya' sebagai budaya kehidupan? (FOTO HIASAN)
- Advertisement -

‘Biar papa yang penting bergaya’. Pepatah ini sinonim digunakan bagi menggambarkan kehidupan masyarakat yang sanggup miskin wang semata-mata untuk bergaya.

Perkara sebegini dapat diperlihat dan banyak dipromosi bukan sahaja dalam media sosial  seperti Instagram, Facebook dan Tiktok tetapi juga dalam kalangan masyarakat kita sendiri yang terlalu mementingkan gaya hidup yang tampak mewah; sehingga imej fizikal dijadikan sebagai kayu pengukur kejayaan, sedangkan hakikat sebenarnya dikaburkan daripada pandangan umum.

- Advertisement -

Persoalannya, adakah trend sebegini semakin buruk sehingga menyebabkan ramai  khususnya dalam kalangan anak-anak muda yang terpaksa diisytiharkan muflis?

Laporan kajian Pantauan Ekonomi Malaysia Disember 2019 yang diterbitkan Bank Dunia, menganggarkan sejumlah 60 peratus daripada keseluruhan individu muflis di Malaysia adalah dari golongan berkenaan, ekoran daripada tabiat berbelanja melebihi pendapatan.

Dr Ramalan Yunus

Mengupas persoalan tersebut, ikuti wawancara HarakahDaily, IKMAL EMIR dengan pakar ekonomi Islam bebas, Dato’ Dr. Ramalan Yunus.

Beliau merupakan Pengerusi dan Penasihat dalam syarikat White Straits Capital Berhad yang terlibat secara langsung dalam bidang perniagaan dan ekonomi secara meluas di rantau Asia, termasuklah dalam sektor ekonomi digital.

HarakahDaily: Adakah budaya ‘biar papa asal bergaya’ ini menjadi ikutan masyarakat umum di Malaysia?

DR. RAMALAN: Sebenarnya ideologi sebegini telah menjadi budaya yang bukan sahaja dalam kalangan rakyat Malaysia, malah juga negara ini sendiri.

Buktinya, hutang negara kita sendiri pun sudah berjumlah RM1.5 trillion dengan masalah perbelanjaan mengalami defisit selama 25 tahun, diikuti dengan 70 peratus hutang negara yang banyak digunakan dalam pembangunan hartanah sebagai keutamaan dan bukannya pembinaan semula sumber pendapatan negara.

Ini jelas menunjukkan bahawa negara kita sendiri pun berbelanja di luar kemampuan dan perkara ini amat menakutkan saya. 

Ini yang menimbulkan persoalan, bagaimana nak harapkan ramai orang jimat berbelanja jika kerajaan pula menonjolkan contoh sebaliknya? Ini yang perlu kita semua ambil perhatian.

Adakah budaya sebegini semakin membarah dalam kalangan rakyat kita?

Ya, hakikatnya semakin membarah dan ia  sedang menghancurkan kehidupan masyarakat kita. Akibatnya, kita lihat sendiri terlalu ramai rakyat kita yang terbelenggu dengan hutang sehingga ke akhir hayat mereka semata-mata nak ikut trend terkini. 

Kesannya, wujudnya pemikiran bahawa mereka tidak boleh hidup tanpa perlu berhutang, dan ini ternyata amat berbahaya kerana ianya boleh menuju kekufuran kepada Allah SWT.

Mengapa ramai orang sanggup menjadi hamba hutang semata-mata untuk kelihatan kaya di hadapan khalayak ramai?

Untuk memahami perkara ini, kita kena faham bahawa ia erpunca daripada sifat masyarakat kita sendiri yang bersifat materialistik semenjak awal 1980-an lagi mengikut perubahan yang berlaku di dalam negara.

Apabila negara kita melakukan perubahan dari  sebuah negara pertanian kepada sebuah negara perindustrian dan perdagangan, maka pemikiran, pandangan dan gaya hidup rakyat Malaysia juga turut berubah secara keseluruhannya. 

Kesannya, wujud pemikiran bahawa seseorang dianggap sebagai kaya, berjaya dan dihormati apabila mempunyai gaya hidup yang mewah. Ini yang menyebabkan kebanyakan orang sanggup berhutang untuk mendapat status tersebut.

Adakah budaya ingin kelihatan kaya ini telah menyebabkan kebanyakan golongan muda telah diisytiharkan muflis di negara ini?

Sebenarnya, terdapat beberapa faktor yang telah menyebabkan ramai golongan muda diisytiharkan muflis. Namun, kita tidak boleh menolak fakta bahawa sifat ingin gaya hidup yang kelihatan kaya dan berjaya merupakan faktor utama.

Ini kerana kebanyakan golongan muda mudah terpengaruh dengan gajet-gajet canggih, fesyen baju terbaharu, kopi baharu dan seumpamanya.

Yang amat membimbangkan adalah institusi pendidikan kita sendiri juga menggalakkan golongan muda berhutang untuk mendapatkan ijazah-ijazah yang pada hakikatnya tidak dapat menjamin apa-apa pekerjaan yang sesuai pada masa ini.

Lebih-lebih lagi apabila perkara ini juga turut dijadikan sebagai status mendapat nama daripada keikhlasan menimba ilmu yang menyebabkan mereka sanggup mengambil mana-mana pinjaman pendidikan yang ada tambahan (riba) lagi.

Kesannya, terlalu ramai generasi muda kini terpaksa mengisytiharkanmuflis akibat daripada kesilapan mereka sendiri yang terlalu rakus mengejar status kelihatan kaya dan kononnya berjaya.

Apakah nasihat yang dapat berikan dalam menghadapi budaya negatif ini?

Pesanan saya untuk setiap rakyat negara ini termasuklah dalam kalangan wakil rakyat PAS dan mana-mana parti politik sekalipun, wajib mempelajari ilmu kemahiran kewangan dan ilmu perancangan kewangan peribadi yang betul.

Saya kena menekankan bahawa ilmu kemahiran kewangan yang benar-benar mengikut al-Quran dan Sunnah mengajar kita untuk keluar daripada setiap hutang tanpa sebarang kegagalan walau apa pun dan ini perlu diajar sejak zaman sekolah rendah lagi.

Mengapa? Ilmu kewangan yang kita peroleh di mana-mana institusi pendidikan kini mengajar sebaliknya dan ia jelas perkara yang salah kerana datang daripada kapitalis barat dan malangnya, pendidikan sebegini yang menyebabkan pelbagai masalah kewangan berlaku dalam negara kita yang patut kita ambil tahu.

Mengenai gaya hidup, saya berani bersumpah bahawa memang ada sesetengah orang yang jenis beli barang mewah menggunakan hutang kad kredit, yang mana orang sebegini jenis walau apa pun masih dapat bayar balik setiap hutangnya tepat pada masa,dan ini fakta tidak boleh dinafikan.

Bagaimanapun, kita harus belajar untuk mengukur baju pada badan sendiri kerana lain orang lain kemampuannya.

Malah kita juga boleh membeli apa sahaja barangan kemewahan tanpa perlu berhutang walau apa pun kerana ini yang digalakkan dalam al-Quran dan Sunnah.

Sebab itu pentingnya untuk ada kesedaran diri untuk tidak menjadikan kelihatan kaya dan berjaya sebagai benchmark utama walau apa pun. Ini  kerana matlamat hidup kita yang sebenar adalah mengejar kejayaan di dunia dan di akhirat menurut syariat Islam.

Itu sahaja pesanan saya yang boleh semua orang jadikan sebagai panduan walau apa pun kerana ia bersifat tidak terikat dengan masa. – HARAKAHDAILY 23/5/2023

- Advertisement -