Kaji pembabitan wanita dalam dunia korporat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kajian terperinci berhubung pembabitan wanita dalam dunia korporat perlu dilakukan supaya kerajaan dapat memanfaatkan hasil kajian itu sebagai panduan.

Dato’ Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) berkata: “Adakah kementerian membuat kajian terperinci untuk dijadikan panduan bagi meningkatkan pembabitan wanita dalam dunia korporat.

- Advertisement -

“Saya juga ingin mengetahui kerjasama dengan kementerian lain dalam usaha mencapai 30 peratus pembabitan wanita seperti yang ditetapkan oleh kerajaan.

Beliau berkata demikian dalam soalan tambahan ketika sesi sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, kajian demikian dijalankan oleh Institut Sosial Malaysia di bawah kementerian itu.

“Kajian itu dijalankan bagi menilai tahap pencapaian sasaran 30 peratus kaum wanita, ia terbahagi kepada beberapa sektor iaitu swasta yang merangkumi syarikat disenarai awam, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan perusahaan kecil dan sederhana.

“Selain itu, perbandingan dilakukan bagi sektor awam, politik, institusi pengajian tinggi dan pertubuhan bukan kerajaan,” katanya.

Mengikut soalan asal, Mohd Suhaimi ingin tahu sama ada kementerian berpuas hati dengan pencapaian wanita dan kuota tersebut telah dicapai.

“Apakah kementerian berpuas hati dengan pencapaian wanita dalam GLC dan sektor swasta lain. Adakah kuota 30 peratus telah dicapai dan jika tidak tercapai, apakah peranan kementerian bagi memenuhi hasrat itu,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 23/5/2023

- Advertisement -