Kadar belia muflis menurun era kerajaan PN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Era kerajaan Perikatan Nasional (PN) memerintah menyaksikan kadar belia muflis menunjukkan trend menurun dalam tempoh tiga tahun sejak 2020 hingga September 2022.

Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) berkata, kerajaan PN ketika negara dilanda pandemik Covid-19 menaikkan nilai ambang bagi hutang yang boleh dikenakan perintah insolvensi melalui petisyen pemiutang kepada RM100,000 berbanding nilai sebelum itu, RM50,000.

- Advertisement -

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YB Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan YB Kota Bharu (Datuk Seri Takiyuddin Hassan), atas keprihatinan mereka dengan kesempitan yang melanda rakyat ketika pandemik yang lalu.

“Melihat kepada kejayaan ini, saya ingin bertanya kepada YB Menteri, adakah kerajaan kini akan meneruskan kadar nilaian tersebut atau kerajaan ada cadangan untuk mengembalikan semula nilai ini ke nilai asal, iaitu RM50,000,” katanya ketika perbahasan Rang Undang-Undang Insolvensi (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Berdasarkan statistik sejak 2018 hingga September 2022, katanya seramai 47,929 rakyat negara ini muflis dan daripada jumlah itu, 10,378 orang berumur antara 34 tahun dan ke bawah, manakala mereka yang berumur 35 hingga 44 tahun seramai 17,917 orang (37.38 peratus).

Beliau berkata, satu artikel media tempatan menyatakan bahawa pindaan Akta Insolvensi 1967 akan membantu kira-kira 130,000 orang mendapat pelepasan muflis.

“Bagaimanakah ia dapat membantu 130,000 orang untuk mendapat pelepasan muflis melalui kaedah pelepasan automatik di bawah seksyen ini?

“Saya juga ingin bertanya kepada menteri, selain dari pindaan ini, apakah usaha kerajaan untuk memberikan kesedaran kepada golongan belia untuk tidak dikenakan tindakan di bawah Akta Insolvensi?

Melepaskan mereka dari kebankrapan adalah suatu perkara, namun katanya perkara yang paling penting ialah tindakan untuk mengelakkan lebih ramai anak muda daripada menjadi mangsa hutang, sehingga dikenakan tindakan insolvensi.

Justeru itu, beliau mencadangkan kepada kerajaan supaya mengadakan usaha bersepadu dengan institusi pendidikan dan agensi kewangan berkaitan untuk mempergiatkan pendidikan kewangan meliputi aspek pengurusan kewangan dan pinjaman kepada warga belia. – HARAKAHDAILY 23/5/23

- Advertisement -