Dilapor kes bunuh diri tetapi pembunuhan

- Advertisement -

SAYA ingin bertanya kepada pihak kerajaan berhubung dengan RUU Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2023 ini.

- Advertisement -

Pertama, berkaitan dengan kes yang membabitkan ibu-ibu yang dalam pantang. Dalam beberapa kes yang baru-baru ini dilaporkan terdapat beberapa kes postpartum, ibu yang melahirkan anak. Kalau kita lihat kepada laporan daripada pihak kesihatan, kes PPD ini berlaku satu daripada 500 buah kes.

Jadi, terdapat juga kes sehingga ibu ini boleh melukakan diri sendiri ataupun membunuh anak yang dijaga olehnya setelah mereka ini mengalami tekanan selepas melahirkan. Jadi, dalam kes ini mungkin kita dapat sedar bahawa ia bukanlah kes membabitkan kes bunuh yang biasa tetapi lebih kepada mereka ini mengalami tekanan perasaan.

Walau bagaimanapun, sebagaimana yang dimaklumkan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri tadi bahawa assessment untuk medical health ini akan dibuat selepas 24 jam dan dibawa ke hospital psikiatri untuk diakses. Akan tetapi, adakah ini juga melibatkan ibu ataupun wanita yang mungkin mengalami tekanan selepas mereka melahirkan?

Jadi, adakah mental health ini kita akan pantau secara keseluruhan kerana jumlah kes kalau ikut tahun 2022, kelahiran hidup di Malaysia berjumlah 439,744 orang pada tahun 2021. Ini membabitkan hampir 500,000 orang.

Jadi, kalau satu per 500 kita ada lebih kurang dalam 800 orang ibu yang berisiko. So, dalam hal ini saya memohon kepada pihak kerajaan dalam mana kita meluluskan akta yang berkaitan dengan tatacara ini untuk bekerja intra-agency dan juga inter-agency bagi memastikan bahawa keseluruhan agensi yang terlibat yang boleh mengesan, berpotensi untuk mengesan bakal-bakal orang yang mungkin melalukan perbuatan ini diberikan perhatian yang sesungguhnya.

Ini kerana dalam kes yang saya lawat dalam bulan lepas itu, ibu tersebut telah pun mendapat rawatan di klinik kesihatan tetapi mungkin kerana mereka tidak assess dia seteruk itu, mereka lepaskan dia balik dan akhirnya terjadilah kematian kepada ibu yang terbabit. Ini memberikan kes yang sangat mendalam kepada anak-anak dan juga suami serta keluarga ibu tersebut.

Dalam hal ini saya mohon supaya pihak kerajaan dalam meluluskan ini membuat SOP dalam agensi-agensi terbabit khususnya kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dan juga mungkin di balai polis untuk mempunyai SOP tertentu bagi mencegah perlakuan ini. Itu yang pertama.

Kedua, berkaitan dengan jenayah ini juga. Kita dapati bahawa selalunya mereka akan memilih lokasi-lokasi yang tertentu. Jadi, adakah pihak kerajaan dalam usaha untuk mencegah dan mengurangkan kes bunuh diri ini akan menutup dan memastikan dan membuat aktiviti bagi melakukan pencegahan kepada lokasi-lokasi yang berpotensi.

Sebagai contohnya, mempunyai CCTV, pegawai ataupun menutup lokasi-lokasi sehingga tidak menjadi lokasi yang hotspot bagi mereka yang mungkin akan menggunakan peluang itu untuk membunuh diri. Ini kerana bagi mereka, kes mereka selesai walaupun mereka ini mengalami tekanan perasaan tetapi ia menimbulkan kekecohan dan keresahan kepada masyarakat secara keseluruhan.

Ketiga, dari sudut melibatkan cara pelaporan pihak media khususnya pihak wartawan dan juga TV dalam melaporkan kes yang membabitkan bunuh diri. Hal ini kerana, kaedah pelaporan dalam media, dalam medsos dan juga dalam filem kadang-kadang kita lihat menyebabkan menggalakkan, memangkinkan lagi orang lain untuk membuat perkara yang sama.

Saya kira dalam hal ini perlu ada satu guideline supaya laporan ini hendaklah dikurangkan ataupun dipastikan dilaporkan dalam keadaan yang sangat minimal supaya tidak memberi peluang kepada orang lain untuk membuat perkara yang sama.

Juga kita lihat antara perkara yang menyebabkan berlaku stres dalam kalangan mangsa-mangsa ataupun bakal pelaku ini ialah kerana banyak tekanan yang dialami dalam masyarakat.

Jadi, antara perkara yang berlaku kita lihat hari ini ramai orang menggunakan perkataan stres. Stres dalam kehidupan, stres dalam kerja, stres dalam pembelajaran. Jadi, kalaulah kita dapat meramaikan lagi rakan-rakan sekerja. Kalau di sekolah ia ada skim ataupun Pembimbing Rakan Sebaya. Dalam jabatan, kita mungkin ada kaunselor. Akan tetapi, mungkin perlu diwujudkan dalam jabatan swasta ataupun kerajaan supaya diwujudkan juga lebih ramai rakan-rakan yang boleh membantu untuk mengurangkan stres ini dalam kalangan kakitangan dan juga pekerja.

Sekarang kita lihat hari ini, tekanan yang kita hadapi sangat banyak. Berkenaan juga isu yang berkaitan dengan bunuh diri ini kita lihat juga dalam hal ini kita melihat seolah-olahnya semuanya bona fide iaitu pihak yang melakukan tidak ada apa-apa niat melainkan kerana mereka ini mengalami ketidakupayaan mental. Akan tetapi, bagaimana dalam kes yang juga sebenarnya dilihat seolah-olah membunuh diri tetapi mempunyai mala fide.

Dalam hal ini, bukti dan forensik saya rasa tetap akan dibuat di pihak polis sebelum kita mengatakan bahawa ia mati secara mengejut ataupun bunuh diri. Ini kerana kita lihat ada beberapa kes yang dilaporkan bunuh diri pada peringkat awalnya setelah dilakukan inquest di bawah Mahkamah Koroner mendapati bahawa ia bukan kes bunuh diri tetapi kes pembunuhan.

Jadi, dalam kes yang disebut sebagai bunuh diri sekali pun hari ini diluluskan rang undang-undang ini kita memohon agar semua bukti dan evidence yang berkaitan dengan kes tersebut hendaklah dipegang secara baik supaya kita tidak melepaskan mana-mana pihak yang mungkin mempunyai mala fide dalam kes-kes tertentu khususnya membabitkan orang-orang yang selebriti dan mempunyai potensi untuk dibunuh tetapi mengguna pakai kaedah seolah-olahnya mereka ini mengalami stres sehingga boleh membunuh diri.

Sebagaimana yang dimaklumkan oleh Yang Berhormat Jelutong tadi, pasangan suami isteri yang dijumpai tiba-tiba kedua-duanya di bawah bangunan di Genting Highlands. Itu juga merupakan satu tindakan ataupun kes yang kita boleh anggarkan sebagai mungkin mempunyai mala fide daripada pihak-pihak tertentu.

Dalam hal ini juga, saya mohon juga kepada pihak kerajaan untuk memberikan satu sistem sokongan dan perubatan kepada keluarga mangsa kerana bila mana ini berlaku sekalipun tidak lagi dijadikan sebagai satu jenayah tetapi mereka tetap akan mengalami tekanan dan juga malu yang sangat luar biasa.

Ini memerlukan sistem sokongan mungkin dalam tempoh tiga bulan ataupun enam bulan kepada pihak keluarga mereka supaya mereka boleh sama-sama menjaga dan memastikan bahawa hasrat kita untuk mengurangkan jenayah ini dapat kita kurangkan dengan kelulusan rang undang-undang pada hari ini. – HARAKAHDAILY 23/5/2023

Petikan ucapan Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi semasa membahaskan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No. 2) 2023 di Dewan Rakyat pada 22 Mei 2023.

- Advertisement -